Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: "Saya bergilir-gilir dengan anak untuk mendukung cucu sambil meredah air sejauh 500 meter untuk keluar dari kawasan rumah yang dilanda banjir sejak dua hari lalu," luah Norizah Mat Noor, 44.

Norizah, terpaksa berjalan kaki mengharungi banjir sedalam 1.5 meter bersama anak perempuannya, Nurul Atiqah Abdul Rashid, 20, dan cucu, Mohammad Aqish Amshar Zulhilmi berusia setahun untuk menyelamatkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Gual To'Deh, di sini, hari ini.

Katanya, dia mengambil keputusan untuk berpindah selepas rumahnya mula dimasuki air separas 0.5 meter, tambahan pula, bimbang akan cucunya yang masih kecil.

"Malam tadi kami hanya 'tidur-tidur ayam' sahaja kerana bimbang air naik semakin tinggi. Malah, saya sendiri tidur di bangku dengan kaki berendam dalam air manakala anak dan cucu tidur di atas tilam yang disusun di kerusi.

"Awal pagi ini paras air meningkat dan tanpa berfikir panjang kami meredah banjir walaupun dalam kesejukan, manakala menantu dan seorang lagi anak bongsu saya di rumah menyelamatkan apa yang patut.

NORIZAH Mat Noor bersama cucunya, Mohammad Aqish Amshar Zulhilmi. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
NORIZAH Mat Noor bersama cucunya, Mohammad Aqish Amshar Zulhilmi. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

"Kami hanya membawa beberapa pakaian di dalam beg plastik serta dokumen penting ke PPS ini, manakala yang selebihnya sudah diangkat ke tempat tinggi," katanya ketika ditemui di PPS SK Gual To'Deh, di sini, hari ini.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 3 petang, hari ini, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, mencatat bacaan 9.41 meter sekali gus melepasi tahap bahaya iaitu sembilan meter.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Abdul Majid Ahmad, 54, terpaksa menahan kesakitan ketika meredah banjir akibat sakit gout untuk ke PPS selepas rumahnya dinaiki air separas dua meter.

"Kalau tidak kerana rumah saya dinaiki air, saya tak sanggup redah air banjir kerana sakit yang saya alami tak terucap dengan kata-kata. Tapi demi keselamatan, saya dibantu anak-anak meredah sahaja air ini untuk berlindung di PPS.

"Alhamdulillah, saya selesa di sini, malah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga banyak membantu selain turut membawa doktor untuk memeriksa kesihatan saya yang juga menghidap jantung dan darah tinggi," katanya.

Abdul Majid adalah seorang daripada 10 mangsa banjir yang membabitkan dua keluarga yang ditempatkan di PPS SK Gual To'Deh, di sini, sejak awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 4:25 PM