TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Asyraf Hamzah.
TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Asyraf Hamzah.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kecewa dengan calon PH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mendakwa kerajaan tidak menyalurkan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sepanjang 2020 dan 2021.

Menteri Kewangan itu berkata, dakwaan itu dianggap fitnah dan tidak berasas kerana Kementerian Kewangan meluluskan sejumlah RM300,000 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kepada semua Ahli Parlimen termasuk Dr Dzulkefly menerusi program Bakul Makanan Nasional.

Menurutnya, sebanyak RM600,000 pula disalurkan kepada ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik Oktober tahun lalu.

"Ini bermakna pada tahun lalu, sebanyak RM900,000 disalurkan kepada ahli parlimen (pembangkang) dan Parlimen Kuala Selangor," katanya menerusi satu video yang dikongsi di laman Facebook, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, peruntukan yang disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang bukanlah dalam jumlah kecil.

"Malah, penyaluran peruntukan itu diteruskan pada tahun ini di mana sebanyak RM800,000 disalurkan bulan Januari lalu kepada semua ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani memorandum ini," katanya.

Sementara itu, sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Tengku Zafrul berkata, beliau menekankan kempen secara bersih dengan menunjukkan kepada pengundi apa yang mampu diberikan demi kesejahteraan penduduk Kuala Selangor.

"Kita berkempen bukannya dengan menabur fitnah serta memburukkan calon lawan.

"Oleh itu, saya sangat kecewa apabila Dr Dzulkefly membuat dakwaan menerusi sebuah portal berita," katanya.

Semalam, portal berkenaan melaporkan, bekas Menteri Kesihatan itu mendedahkan Menteri Kewangan tidak menurunkan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sepanjang 2020 dan 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 4:10 PM