PUNCAK ALAM 19 NOVEMBER 2022. Para pengundi mula berbaris sebelum pusat mengundi dibuka pada jam 8 pagi pada Pilihanraya Umum ke-15 bagi parlimen Kuala Selangor di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2. NSTP/ASYRAF HAMZAH
PUNCAK ALAM 19 NOVEMBER 2022. Para pengundi mula berbaris sebelum pusat mengundi dibuka pada jam 8 pagi pada Pilihanraya Umum ke-15 bagi parlimen Kuala Selangor di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Selangor: Ibu dalam pantang, antara ribuan pengundi Parlimen Kuala Selangor yang menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 di sini, hari ini.

Nurul Iffah Norhusaini, 29, yang melahirkan anak kedua itu tiba di pusat mengundi berkenaan seawal jam 8 pagi bersama bayi perempuannya dan suami.

Suri rumah itu berkata, dia memilih untuk keluar mengundi awal bagi mengelak kesesakan selain suami perlu keluar mengundi di tempat lain.

"Walaupun dalam pantang, tapi saya tetap nak keluar mengundi kerana penting untuk kita pilih pemimpin yang akan memerintah negara.

"Alhamdulillah, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu menolak kerusi bayi dan membenarkan saya masuk dahulu untuk mengundi tanpa perlu beratur panjang," katanya ketika ditemui selepas mengundi di SK Puncak Alam 2 di sini, hari ini.

Selain itu, Salam Ahmad Saiful Hayaz, 18, teruja untuk keluar mengundi kerana ini pengalaman pertamanya dapat menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Penuntut Diploma Pengurusan Pejabat dari kolej swasta dan menetap di Taman Sinar Alam, Puncak Alam itu berkata, dia datang bersama keluarganya seawal jam 7.30 pagi.

"Saya gembira dapat mengundi kali pertama dan saya lihat proses pengundian di sini berjalan lancar dengan petugas SPR sangat membantu orang ramai yang datang mengundi.

"Walaupun perlu beratur panjang tapi kami tak menunggu lama," katanya.

Pengundi orang kurang upaya (OKU), Mohd Tajri Mohd Affandi, 46, yang ditemani anaknya berkata, ini bukan kali pertamanya mengundi tetapi kali ini baginya berbeza apabila melihat ramai anak muda keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Katanya, sebelum ini dia mengundi di kawasan Subang Jaya dan menukar tempat mengundi di Parlimen Kuala Selangor selepas berpindah ke Puncak Alam.

Sebanyak 39 pusat mengundi membabitkan 178 saluran dibuka bagi parlimen itu bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu.

Kerusi Parlimen Kuala Selangor menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan penyandangnya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Pakatan Harapan); Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (BN); Mohd Shaid Rosli (Pejuang) dan Mohd Noor Mohd Sahar (Perikatan Nasional).

Dr Dzulkefly memenangi kerusi parlimen Kuala Selangor pada PRU-14 dengan majoriti 8,498 undi menewaskan penyandang, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN) dan calon Pas, Fakaruddin Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 11:31 AM