Rahmat Ariffin.
Rahmat Ariffin.
Oleh Omar Ahmad

Iskandar Puteri: Memanggil penghuni keluar dan sekiranya tiada jawapan, mereka akan memecah masuk kediaman serta melarikan barangan berharga.

Demikian modus operandi sekumpulan empat suspek pecah rumah termasuk lelaki warga emas yang ditahan dalam serbuan berasingan di Taman Pulai Indah, Bandar Selesa Jaya dan Skudai pada 20 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 24 hingga 62 tahun.

Katanya, ketika kejadian, polis bertindak mengekori sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra sebelum berjaya menahan dua suspek yang juga pasangan suami isteri berusia 35 dan 24 tahun.

"Hasil soal siasat polis berjaya menahan dua lagi suspek iaitu seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun dan seorang lagi lelaki berusia 41 tahun.

"Kesemua yang ditahan mempunyai rekod lampau dengan salah seorang daripada suspek memiliki 33 rekod lampau bersabit pelbagai kesalahan jenayah antaranya pecah rumah, curi kenderaan, samun dan juga memiliki barangan curi.

"Polis percaya berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Menurut Rahmat, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menyasarkan kediaman tidak berpagar.

Katanya, pasangan suami akan menekan loceng atau memanggil penghuni kediaman untuk keluar.

"Setelah mengesahkan kediaman itu kosong, mereka akan memecah masuk dan mencuri pelbagai barangan yang boleh dijual semula di pasaran," katanya.

Menurut Rahmat, antara barangan yang dirampas termasuk sebuah Naza Citra, motosikal, peti sejuk, televisyen dan barangan kemas.

Anggaran nilai barangan yang dirampas adalah sebanyak RM30,000. Kesemua suspek kini dikenakan tahanan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 3:06 PM