Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Pasangan kekasih dan rakan mereka ditahan, kelmarin selepas disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di Taman Bukit Indah di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang tukang masak berusia 29 tahun yang bekerja di Singapura memaklumkan rumahnya dimasuki orang.

"Lelaki itu menerima panggilan daripada ibunya berusia 62 tahun kira-kira 5 petang, 2 Mei lalu yang memberitahu rumah pengadu dipecah masuk.

"Sebaik pulang ke Malaysia, didapati pintu pagar hadapan terbuka manakala kunci mangga di pintu tiada," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya melakukan dua serbuan di kawasan Tampoi dan Larkin, kira-kira 8.30 pagi, kelmarin sebelum menahan menangkap semua suspek dan merampas tiga kereta serta pelbagai barangan berharga lain.

"Barang lain yang dirampas adalah tiga telefon bimbit, tabung mengandungi pelbagai jenis mata wang asing serta duit syiling, tujuh jam tangan, tiga beg, tiga topeng muka dan kepala, sarung tangan, barangan kemas, dua 'allen key' diubah suai, dua anak kunci diubah suai dan komputer riba.

"Selain itu, peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah dan tiga kereta turut dirampas dan semua rampasan dianggarkan bernilai RM300,000," katanya.

Beliau berkata, modus operandi suspek mensasarkan kediaman tidak berpenghuni dan mempunyai kenderaan dalam pagar rumah.

"Mereka akan menggunakan kunci dan peralatan yang diubah suai untuk membuka mangga kunci, selain mengambil kunci kereta dan melarikan kenderaan itu.

"Kenderaan yang dilarikan itu kemudian digunakan untuk jenayah pecah rumah serta dijual jika terdapat permintaan," katanya.

Rahmat berkata, hasil semakan tiga kereta yang dirampas itu mendapati dua daripadanya mempunyai rekod hilang dalam kes pecah rumah, manakala sebuah lagi buah dipercayai kenderaan yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah itu.

Menurut beliau, suspek pertama dan kedua yang juga pasangan kekasih berusia 29 dan 31 tahun mempunyai rekod jenayah lampau dan positif methamphetamine.

Manakala, katanya, suspek ketiga berusia 36 tahun mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan dadah, namun ujian saringan awal air kencingnya negatif.

"Pengakuan awal suspek mengaku melakukan dua kes pecah rumah dan membawa lari kenderaan serta satu kes samun serta dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan sejak awal tahun ini.

"Kita percaya dengan tangkapan ini, kita berjaya melumpuhkan sindiket kes pecah rumah dan melarikan kenderaan dalam kawasan Iskandar Puteri serta daerah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

"Suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 3:44 PM