ANTARA barang rampasan dalam sidang akhbar tangkapan dan rampasan kes pecah rumah (Op Pintu Bunga Raya) di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
ANTARA barang rampasan dalam sidang akhbar tangkapan dan rampasan kes pecah rumah (Op Pintu Bunga Raya) di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Amin Jalil


Nilai: Enam lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi di sekitar daerah ini dan luar Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kesemua suspek itu berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan menerusi Op Pintu Bunga Raya dalam empat siri serbuan.

Menurutnya, satu operasi dilancarkan pada 21 dan 22 November oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan selepas menerima maklumat awam mengenai kegiatan mereka itu.

"Kesemua warga tempatan itu ditahan di Mantin dan Nilai selain pemeriksaan di Merlimau, Melaka; Kangkar Pulai, Johor dan Semenyih, Selangor," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas dua utas jam tangan, telefon bimbit (17), wang tunai dan seutas rantai warna keemasan.

"Turut dirampas ialah masing-masing sebuah kereta dan motosikal serta satu resit pajak gadai, dompet (3), sebilah kapak dan peralatan pecah rumah," katanya.

Menurut Mohd Fazley lagi, modus operandi kumpulan itu didapati bergerak secara berkumpulan dan mensasarkan kediaman persendirian terutamanya di kawasan perumahan terpencil.

Katanya, kumpulan terbabit dipercayai aktif sejak Mac lalu dengan aktiviti memecah masuk dan curi dilakukan antara 3 hingga 6 pagi.

"Berdasarkan modus operandi yang sama, disyaki mereka terbabit dalam 44 kes pecah rumah iaitu 14 di Mantin, Nilai (12) dan Seremban (11), manakala tujuh kes di luar Negeri Sembilan membabitkan di Semenyih (4), Jasin, Melaka (2) dan satu kes di Ipoh, Perak.

"Jumlah kerugian keseluruhan bagi semua kes ini dianggarkan sebanyak RM204,000," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sejak 23 November lalu bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama 14 tahun dan denda serta sebat.

Mohd Fazley berkata, ujian saringan air kencing ke atas keenam-enam suspek terbabit mendapati dua daripadanya positif methamphetamine.

"Rekod juga menunjukkan kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 5:26 PM