HABIBI menunjukkan kereta Perodua Kancil dan van yang dirampas dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.   FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
HABIBI menunjukkan kereta Perodua Kancil dan van yang dirampas dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan Geng Ruben memecah masuk premis perniagaan di sekitar Kepong, di sini, sejak dua bulan lalu terbongkar dengan penahanan enam lelaki tempatan antara 13 Mei lalu sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Habibi Manjiji berkata, pihaknya menerima 15 laporan kes pecah premis perniagaan di sekitar Kepong bagi tempoh Januari hingga April lalu.

Katanya, jumlah itu meningkat lima kali ganda berbanding hanya tiga kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu menyebabkan pihak polis menubuhkan pasukan khas.

"Hasil maklumat diterima, kami menahan enam lelaki tempatan berusia 28 hingga 38 tahun di beberapa lokasi sekitar pusat bandar ini.

"Kami turut menahan ketua kumpulan dikenali sebagai Ruben berusia 29 tahun.

"Turut dirampas beberapa barangan hasil kegiatan curi kumpulan terbabit termasuk alat ganti kenderaan, komputer riba serta wang tunai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Superintendan Jasni Zolpa.

Habibi berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan iaitu masing-masing sebuah kereta Produa Kancil dan van yang digunakan oleh kumpulan terbabit untuk menjalankan kegiatan itu.

"Modus operandi kumpulan ini adalah melakukan kegiatan pecah masuk ke premis perniagaan seperti restoran, kedai alat ganti kenderaan serta bengkel menggunakan kenderaan curi.

"Kumpulan ini dipercayai aktif melakukan kegiatan itu pada waktu awal pagi iaitu antara jam 1 hingga 5 pagi.

"Apabila mereka berjaya pecah masuk, mereka akan mengambil semua jenis barangan termasuk tin susu sebelum ia dijual semula," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati kesemua suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Suspek utama iaitu ketua kumpulan berkenaan mempunyai rekod paling banyak iaitu sebanyak 14 rekod membabitkan kes jenayah dan dadah.

"Hasil saringan awal air kencing dilakukan mendapati kesemua suspek berkenaan positif dadah," katanya.

Menurutnya, pihaknya masih mengesan seorang lagi suspek dipercayai ahli kumpulan terbabit yang masih bebas.

"Dengan penahanan enam suspek ini, kami percaya dapat menyelesaikan sembilan kes iaitu tujuh kes pecah premis perniagaan serta dua kes curi kenderaan di Kepong yang didalangi kumpulan terbabit.

"Kesemua suspek disambung reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 4:28 PM