Taib Ahmad (kiri) menunjukkan antara rampasan kes pecah rumah dan curi kenderaan pada sesi sidang media di IPD Johor Bahru Utara, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Taib Ahmad (kiri) menunjukkan antara rampasan kes pecah rumah dan curi kenderaan pada sesi sidang media di IPD Johor Bahru Utara, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


POLIS menahan 20 individu termasuk seorang wanita warga Indonesia selepas dipercayai terbabit dengan kes pecah rumah dan curi kenderaan dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar daerah Johor Bahru Utara.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kumpulan yang dikenali sebagai Geng Katte itu ditahan bermula 28 Mei hingga 4 Jun lalu.

Menurutnya, mereka menggunakan modus operandi menyasarkan premis yang ditinggalkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk melakukan jenayah.

Katanya, pada awalnya sepasukan anggota Balai Polis Taman Universiti menahan dua lelaki dan merampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dilaporkan hilang.

"Siasatan lanjut mendedahkan pembabitan beberapa lagi rakan penjenayah itu dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Johor Bahru Utara, Iskandar Puteri, Kulai dan Johor Bahru Selatan.

"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara membuat tujuh serbuan di premis yang dijadikan sebagai markas mengumpul hasil kegiatan jenayah mereka di sekitar kawasan Taman Universiti, Taman Ungku Tun Aminah, Setia Indah dan Senai.

"Kesemua 17 lelaki dan dua wanita warga tempatan serta seorang wanita warga asing yang tamat tempoh pas lawatan sosial berusia 17 hingga 35 tahun itu berjaya ditahan manakala seorang daripada suspek iaitu dalang kegiatan berkenaan berusia 33 tahun ditahan di Kulim, Kedah," katanya pada sidang media di IPD Johor Bahru Utara, hari ini.

Beliau berkata, seorang daripada suspek juga didapati masih mempunyai rekod orang dikehendaki bersabit kes curi di Perak.

Katanya, saringan air kencing mendapati 11 lelaki dan seorang wanita tempatan positif dadah jenis methaphetamine dan pihaknya merampas termasuk tiga televisyen, lapan penghawa dingin, mesin basuh, lapan komponen audio kereta dan tiga perkakas dapur elektrik dengan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM60,000.

"Dengan tertangkapnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 36 kes di daerah Johor Bahru Utara dan sekitar daerah Wilayah Pembangunan Iskandar.

"Kesemua tangkapan masih ditahan reman untuk siasatan lanjut sehingga 12 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan selain Seksyen 36 Akta Senjata 1960, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 7:48 PM