Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Seorang pemuda menderita penyakit misteri sejak dua bulan lalu yang menyebabkan kulit badan termasuk mukanya melepuh sebelum bahagian terbabit menjadi kudis apabila kering.

Menurut Tuan Mohamad Hanif Tuan Yazid, 20, ia bukan saja gatal dan pedih malah menyakitkan.

Katanya, ia menyebabkan dia gelisah, malah hanya mampu tidur dua jam pada waktu malam.

"Pada awalnya, bintik-bintik merah hanya naik di belakang badan dan tidak lama kemudian ia menyerang muka dan seluruh anggota badan.

"Bagaimanapun, ia lebih menyakitkan apabila luka kulit melepuh mengeluarkan air bisa. Ia juga menyebabkan kulit menjadi gatal, malah luka selepas digaru sehingga mengeluarkan darah sebelum bertukar menjadi kudis apabila kering," katanya di Kampung Pangkal Changgong di sini, hari ini.

Mengimbau kejadian, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia masuk bersendirian ke kawasan semak di Kampung Belukar bagi mencari cacing untuk dijadikan umpan memancing udang, Ogos lalu.

"Pada hari sama, saya dan tiga rakan keluar memancing di Sungai Belat, Kuantan dan kami memperoleh banyak udang bersaiz besar sebelum pulang ke rumah.

"Pada sebelah petang, saya memasak udang berkenaan bersama mi segera dan tidak lama selepas itu, bahagian belakang badan dipenuhi ruam dan gatal-gatal dan pada masa sama, tangan jadi kebas," katanya.

Ibunya, Yusniza Mohd Zaidi, 41, membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan namun doktor memaklumkan ia disebabkan alahan sebelum diberikan ubat tahan sakit.

"Seminggu kemudian, seluruh anggota badan termasuk muka dipenuhi ruam merah dan gatal-gatal selain kudis. Doktor bagaimanapun tidak dapat mengesahkan penyakit dihidapi.

"Sejak itu, saya mendapatkan pelbagai rawatan termasuk bertemu lebih 10 pengamal perubatan Islam di sekitar Kuantan dan Kelantan namun masih belum sembuh," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tuan Mohamad Hanif Tuan Yazid di talian 018-9149267.

Sementara itu, Yusniza berkata, dia sudah menghabiskan ribuan ringgit bagi merawat penyakit terbabit.

"Saya tidak lagi mampu menampung kos perubatan untuk merawat anak kerana setiap kali berjumpa pengamal perubatan, saya perlu keluarkan belanja antara RM100 hingga RM200," katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang kosmetik di Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 5:13 PM
YUSNIZA menunjukkan lengan Tuan Mohamad Hanif yang dipenuhi kudis selepas menderita penyakit misteri. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
YUSNIZA menunjukkan lengan Tuan Mohamad Hanif yang dipenuhi kudis selepas menderita penyakit misteri. FOTO Hazira Ahmad Zaidi