PROFESOR dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Otorinolaringologi ,Surgeri Kepala dan Leher  PPUM, Prof Dr Mohd Zulkiflee  Abu Bakar.
PROFESOR dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Otorinolaringologi ,Surgeri Kepala dan Leher PPUM, Prof Dr Mohd Zulkiflee Abu Bakar.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Alahan kepada nasi boleh membawa masalah kesihatan serius jika individu terbabit berada pada tahap kronik.

Profesor dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Otorinolaringologi, Surgeri Kepala dan Leher Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Dr Mohd Zulkiflee Abu Bakar berkata, Allergen (bahan yang menyebabkan alahan) pada nasi datangnya daripada sejenis glikoprotein yang terdapat dalam beras berkenaan.

Katanya, bagaimanapun, hasil salah satu kajiannya pada tahun 2008 membabitkan pesakit (alahan makanan) di PPUM menunjukkan telur, susu, kekacang, gandum dan soya adalah lebih kerap menyebabkan alahan berbanding nasi.

"Gejala ringan dan sederhana yang biasanya berlaku pada pesakit alahan nasi adalah ruam, gatal-gatal pada kulit, bersin, hidung berair atau tersumbat, asma dan kadang-kala sakit perut.

"Manakala dalam kes yang berat, pesakit mengalami masalah sukar bernafas dan akhirnya boleh meninggal dunia.

"Semuanya boleh berlaku selepas beberapa minit mengambil makanan berkenaan. Oleh itu, alahan makanan ini bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main-main," katanya ketika dihubungi Harian Metro bagi mengulas mengenai punca dan kesan alahan nasi terhadap pesakitnya.

Menurutnya, pesakit alahan nasi boleh dikenal pasti melalui ujian tertentu seperti ujian kulit (skin prick test), aras immunoglobulin E (Ig E) dalam darah dan pelbagai ujian imunologi di makmal.

Katanya, selepas dikenal pasti, pesakit disarankan supaya tidak mengambil nasi putih, nasi perang atau nasi pulut termasuklah tepung beras, sushi atau sebarang makanan dan kuih-muih yang berasaskan beras.

"Jadi, pastikan selalu membaca label yang ada pada bungkusan sebelum membeli sesuatu makanan.

"Sebagai alternatif, penghidap alahan nasi boleh mengambil sumber karbohidrat yang lain, terutamanya roti yang berasaskan tepung gandum atau jagung.

"Namun, pesakit hendaklah berhati-hati kerana ada kalanya, sumber lain juga boleh menyebabkan alahan kepada mereka. Sekiranya tidak pasti, dapatkan nasihat pakar berhubung perkara itu," katanya.

Semalam, portal Harian Metro menyiarkan kisah seorang remaja, Nor Shaf Reeka Lizawardi, 19, yang mengalami alahan terhadap nasi sejak berumur enam tahun.

Berikutan alahan dihadapinya, Nor Shaf Reeka cuba mengelak untuk menjamah nasi supaya tidak mengalami sakit perut dan timbulnya bintik merah pada badan.

Kisah Nor Shaf Reeka mula mendapat perhatian warganet selepas membuat pendedahan mengenai alahan dialaminya di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 2:24 PM