KEADAAN Muhammad Jay yang mengidap penyakit Ekzema kronik. FOTO Essa Abu Yamin.
KEADAAN Muhammad Jay yang mengidap penyakit Ekzema kronik. FOTO Essa Abu Yamin.
Mohamed Farid Noh

Batu Pahat: Bayi lelaki berusia dua tahun di Kampung Kota Dalam, Ayer Hitam, dekat sini, menderita penyakit ekzema kronik hingga menyebabkan kulit seluruh badannya termasuk kepala seolah-olah melecur, berair dan gatal-gatal sejak lebih setahun lalu.

Muhammad Jay Ashri Johari mula menghidap penyakit itu sejak berusia lapan bulan menyebabkannya sering menggaru badannya sehingga luka dan menangis akibat tidak selesa.

Ibunya, Norhayati Shari, 36, berkata, pada mulanya bayi yang dipanggil Ashri itu hanya menghidap ruam susu ketika berusia lapan bulan sebelum membawanya mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Namun katanya, selepas menyapu krim yang dibekalkan klinik di bahagian pipi dan dada, ruam susu bayinya itu terus membengkak serta bertukar kemerahan menyebabkannya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.

“Pada mulanya bengkak pada muka dan badan Ashri hilang, namun seminggu kemudian ia membengkak semula sehingga terpaksa dimasukkan ke wad selama seminggu di HSNI.

“Sejak itu hospital menjadi rumah kedua kami kerana sering berulang-alik sehingga doktor merujuk Ashri ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, bagi mendapatkan rawatan pakar kulit.

“Namun April lalu, ketika kulit Ashri yang juga anak bongsu daripada lima beradik membengkak semula, suami, Johari Harun, 44, diserang angin ahmar separuh badan menyebabkan mereka dua beranak terpaksa ditahan dan mendapat rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya semalam.

Norhayati berkata, bayinya sering menangis jika badannya gatal terutama ketika cuaca panas dan menggaru kulitnya sehingga luka.

Katanya, mereka pernah membedung dua tangan Ashri bagi mengelaknya terus menggaru namun anaknya itu menangis lebih teruk dan pandai membuka balutan bedungnya.

“Ashri tidak boleh berenggang dengan saya dan jika badannya gatal, saya menyapu krim khas yang dibeli di farmasi, selain menggosok badannya bagi melegakan kesakitan.

“Disebabkan tidak boleh berjauhan, saya terpaksa membawa dia ketika menjual pisang goreng dengan meletakkannya di dalam kereta bersama bapanya.

“Setiap empat hari sekali saya membeli krim khas yang disyorkan hospital di farmasi berharga RM38 dan jika tidak dapat menjual pisang goreng, kami sekeluarga perlu mengikat perut kerana bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan tidak mencukupi,” katanya.

Katanya, dia terpaksa menyara keluarga dengan menjual pisang goreng, selain memetik cili bagi menambah wang perbelanjaan, manakala tiga anaknya yang lain masih bersekolah.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada Norhayati boleh menghubunginya di Facebook dengan nama Norhayati Shari atau menderma ke akaun Bank Simpanan Nasional 0100641000111020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 9:31 AM