Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Orang ramai tidak perlu panik dengan risiko bencana empangan di Empangan Kenyir dekat Hulu Terengganu terutama menjelang musim monsun timur laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu Hanafiah Mat berkata, kebiasaannya MTL akan menyebabkan berlakunya taburan hujan yang lebih tinggi.

Beliau berkata, ia mungkin menyebabkan berlakunya limpahan air keluar dari empangan berkenaan.

"Setakat ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pun menyatakan ia selamat.. tidak akan berlaku apa-apa... Insya Allah.

"Jadi tak usah kita menguar-uarkan dan saya harap rakyat negeri Terengganu tidak panik dengan ramalan itu, kita semua berdoa dan buat sembahyang hajat supaya ia tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Hari Sayyidatina Aishah 2022 dan Majlis Pelancaran Dasar Wanita Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Meor Ismail Meor Akim dilapor berkata, walaupun teknologi mengatakan empangan tidak akan pecah, namun persiapan menghadapi sebarang kemungkinan tetap perlu dilakukan.

WAN Rosdy (duduk, tengah) bergambar bersama 10 Exco) Pahang. FOTO Asrol Awang
WAN Rosdy (duduk, tengah) bergambar bersama 10 Exco) Pahang. FOTO Asrol Awang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 8:04 PM