Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Limpahan air melalui struktur alur limpah di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir, di sini, adalah operasi normal apabila ia melebihi paras takungan penuh iaitu 145 meter (m).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Mejar (PA) Mohd Zamani Mat Nasir berkata, empangan mula beroperasi sejak 37 tahun itu mampu menampung paras air sehingga 153m dan air akan mengalir keluar ke Sungai Terengganu melalui struktur alur limpah tidak berpintu apabila melepasi paras 145m.

Beliau berkata, dalam tempoh 37 itu, lebih 10 kali limpahan direkodkan dan ia operasi normal bagi sesebuah empangan apabila ia mencapai paras bekalan penuh.

"Aliran air melalui alur limpah tidak ada kaitan dengan pembukaan pintu empangan seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia proses biasa bagi sesebuah empangan.

"Apa yang berlaku adalah aliran semula jadi apabila mencapai paras tertentu dan tidak perlu dibimbangi kerana saban tahun pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan persiapan awal dengan membuat penjanaan optimum supaya ia dapat menakung air banyak semasa tengkujuh," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan dan pemantauan di SJSM, di sini, hari ini.

Mohd Zamani berkata, ketika ini, paras air di stesen itu berada pada tahap normal dengan bacaan 139.4m walaupun keadaan cuaca tidak menentu disebabkan monsun timur laut.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana paras air di empangan itu masih terkawal dan tidak perlu menularkan atau memuat naik semula video lama, sebaliknya mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa.

"Setiap tahun apabila memasuki musim tengkujuh ada sahaja video kononnya berlaku pelepasan air tidak terkawal dari empangan sedangkan semua itu tidak berlaku.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu yang juga Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Mejar (PA) Mohd Zamani Mat Nasir (kiri) memantau paras air di Empangan Tasik Kenyir, Jenagor. FOTO GHAZALI KORI
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu yang juga Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Mejar (PA) Mohd Zamani Mat Nasir (kiri) memantau paras air di Empangan Tasik Kenyir, Jenagor. FOTO GHAZALI KORI

"Kita harap masyarakat berhenti menularkan video atau mengaitkan banjir yang berlaku disebabkan pelepasan air kerana ia boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat ," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zamani berkata, masyarakat perlu sedar fungsi utama empangan di sesuatu kawasan adalah untuk mengurangkan risiko banjir.

Beliau berkata, pembinaan empangan bertujuan menakung air hujan lebat terlebih sebelum dialirkan secara terkawal dan kejadian banjir teruk terbukti dapat dikurangkan terutama di sepanjang sungai Terengganu dengan adanya empangan itu.

Terdahulu, TNB menafikan video tular di media sosial pada Khamis lalu yang menunjukkan kejadian arus sungai deras dikatakan berlaku di Tasik Kenyir.

Menerusi kenyataan rasmi di laman Facebook TNB Care pada Jumaat berkata, sungai dipaparkan di dalam video itu adalah Sungai Telemong yang terletak berhampiran Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 1:26 PM