Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Projek pemuliharaan muara Sungai Dungun, Kuala Dungun berjumlah RM242.97 juta bakal memberi limpahan manfaat kepada lebih 5,000 penduduk tempatan termasuk komuniti nelayan dan sektor pelancongan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek dijadualkan bermula 26 September ini dan dijangka siap dalam tempoh 54 bulan.

Ia akan dilaksanakan Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah mendapan serta muara sungai yang cetek.

Beliau berkata, mendapan di muara Sungai Dungun itu tidak selamat untuk perjalanan bot nelayan dan bot pelancongan ke Pulau Tenggol.

"Keadaan menjadi bertambah buruk semasa musim monsun timur laut (MTL) apabila angin kencang dan gelombang kuat menyebabkan kerosakan bot selain risiko nyawa.

"Selain itu, pemendapan di muara sungai itu turut mengurangkan keupayaan sungai untuk mengalirkan air ke laut dan mengakibatkan banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun di Dewan Sivik Bijangga Dungun di sini, hari ini.

TUAN Ibrahim (tengah) melihat pelan projek pada majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun di Dewan Sivik Bijangga Kuala Dungun. FOTO Ghazali Kori
TUAN Ibrahim (tengah) melihat pelan projek pada majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun di Dewan Sivik Bijangga Kuala Dungun. FOTO Ghazali Kori

Tuan Ibrahim berkata, skop utama projek merangkumi pengorekan alur pelayaran, pembinaan struktur pemecah ombak dan pembinaan struktur dinding penahan lapis lindung pantai.

Beliau berkata, ia juga merangkumi pembinaan 'groin' iaitu struktur hidraulik yang dibina secara berserenjang bagi mengurangkan kesan pukulan ombak pada pantai serta pembinaan lampu tanda arah suar.

"Saya berharap projek ini dapat membantu 500 bot berdaftar di muara Sungai Dungun menjalankan aktiviti perikanan dan pelancongan dengan selamat dan bebas daripada masalah kerosakan bot sekali gus dapat menjana ekonomi tempatan.

"Ia juga diharapkan dapat mengurangkan risiko banjir pantai yang membabitkan hampir 5,000 penduduk tempatan," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, 21 projek diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.55 bilion di Terengganu.

Beliau berkata, projek itu merangkumi kerja mengawal hakisan pantai, memulihara muara sungai, membangun lembangan sungai bersepadu dan menebat banjir.

"Selain itu, Kasa juga sudah memohon 20 lagi projek tambahan baharu di bawah Rolling Plan Ketiga (2023) RMKe-12 bagi seluruh Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 2:04 PM