Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan di Terengganu bagi menempatkan mangsa banjir apabila musim tengkujuh dijangka bermula hujung November ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 80 peratus PPS membabitkan bangunan sekolah memandangkan ia dilengkapi kemudahan asas lengkap.

Beliau berkata, ia mampu menampung kira-kira 270,000 mangsa banjir dan seramai 550 anggota bersama aset termasuk bot bersedia digerakkan sekiranya banjir berlaku.

"(Bagi) mangsa bergejala atau positif Covid-19, mereka akan dipindahkan ke bilik rawatan khas di PPS atau ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Kita menjangkakan kesan banjir tahun ini adalah sama dengan tahun lalu dan insya-Allah, dengan kapasiti sedia ada ini, kita mampu tangani walaupun masih berdepan dengan Covid-19," katanya selepas meninjau persiapan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di perkarangan Pejabat APM Terengganu di sini, hari ini.

Mohd Rosman berkata, sebanyak RM6 juta disalurkan kepada lebih 11,000 ketua isi rumah yang terjejas susulan banjir pada tahun lalu menerusi Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Katanya, setiap mangsa yang terjejas ketika MTL atau lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) sebelum ini layak menerima bantuan RM500, namun kini ia dinaikkan kepada RM1,000.

Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, terdapat empat hingga enam episod hujan lebat yang boleh menyebabkan kejadian banjir bermula awal November dan Disember ini terutama di kawasan rendah.

Mohd Rosman (dua dari kiri) memeriksa memeriksa peralatan keselamtan ketika meninjau persiapan menghadapi monsun timur laut di Pejabat APM Terengganu hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Mohd Rosman (dua dari kiri) memeriksa memeriksa peralatan keselamtan ketika meninjau persiapan menghadapi monsun timur laut di Pejabat APM Terengganu hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 6:50 PM