Redzuan Muharam


Kajang: Biarpun belum ada rezeki dikurniakan cahaya mata selepas hampir 12 tahun berumah tangga, Adib Hafaz Abu Hassan tetap setia dengan isteri tercinta, Noorizam Abu Samah.

Kesetiaan Adib Hafaz, 42, terbukti apabila sentiasa ada di sisi Noorizam, 37, dan menjadi penguat semangat isterinya yang sukar hamil kerana diuji dengan sindrom ovari polisistik (PCOS).

Bukan setakat itu, Adib Hafaz juga adalah peneman setia Noorizam setiap kali dimasukkan ke hospital yang menjadi ibarat 'rumah' kedua isterinya sejak awal perkahwinan mereka.

Kisah pasangan itu mendapat perhatian selepas Noorizam memuat naik video penghargaan buat Adib Hafaz di TikTok, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Adib Hafaz yang menetap di Sungai Kantan, di sini berkata, sejak awal perkahwinan lagi dia sudah tahu mengenai penyakit isterinya dan risiko yang bakal dihadapi iaitu kesukaran untuk hamil.

Bagaimanapun, Adib Hafaz reda malah tidak mengambil kesempatan untuk berkahwin lagi hanya kerana tiada zuriat.

"Isteri pernah minta saya kahwin lagi tetapi saya tidak terfikir ke arah itu.

"Ini kerana hati saya cuma setia pada yang satu iaitu isteri dan Alhamdulillah, keluarga faham jadi tiada masalah.

"Saya percaya pada rezeki dan walau sibuk mana sekalipun dengan kerja sebagai sukarelawan, saya akan cari masa bersama isteri terutama jika dia dimasukkan ke hospital," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

OPERASI mencari dan menyelamat mangsa dijalankan. FOTO Zaid Salim
OPERASI mencari dan menyelamat mangsa dijalankan. FOTO Zaid Salim

Berhubung video yang tular di laman sosial, Adib Hafaz berkata, dia hanya tahu mengenainya selepas diberitahu isteri.

"Tak sangka sampai tular dan terima kasih kepada semua yang mendoakan.

"Semoga hubungan saya dan isteri kekal hingga ke Jannah," katanya yang juga bekas pensyarah bidang automotif dan perabot sebelum menjadi sukarelawan pengurusan jenazah sepenuh masa di bawah pertubuhan Amal Team pada 2019.

Sementara itu, Noorizam berkata, dia disahkan mempunyai PCOS sejak tahun pertama perkahwinan lagi dan sering keluar masuk hospital.

"Selain PCOS, saya ada masalah obesiti jadi kerap ke hospital untuk rujuk dengan doktor sebagai ikhtiar mendapatkan zuriat.

"Kebiasaannya di Hospital Kajang kerana dekat dengan rumah cuma minggu lalu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana pemeriksaan kesihatan dengan pakar di situ.

"Lima hari juga saya di situ iaitu sejak 12 hingga 17 September lalu, namun suami tetap datang walaupun hanya dengan menunggang motosikal serta perlu meredah hujan," katanya yang pernah ditahan di wad selama dua minggu.

Mengenangkan pengorbanan suaminya itu membuatkan Noorizam tersentuh dan mencurahkan isi hatinya menerusi perkongsian video pendek di TikTok.

"Saya muat naik video itu sebagai tanda penghargaan buat suami, itu saja tetapi tak sangka boleh tular dan dapat tontonan ramai dalam masa singkat.

"Sebagai isteri, saya bersyukur dikurniakan suami yang sentiasa ada di sisi termasuk ketika saya sakit.

"Disebabkan masalah kesihatan, saya pernah minta suami berkahwin lagi seawal tahun ketiga perkahwinan tetapi dia enggan dan reda jika tiada rezeki dapat zuriat. Jawapannya itu membuatkan saya lebih tersentuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 12:55 PM
ADIB Hafaz dan Noorizam bahagia walaupun tanpa zuriat selepas hampir 12 tahun berumah tangga. FOTO Ihsan Noorizam Abu Samah
ADIB Hafaz dan Noorizam bahagia walaupun tanpa zuriat selepas hampir 12 tahun berumah tangga. FOTO Ihsan Noorizam Abu Samah