Redzuan Muharam


Marang: Bukan sekejap namun tujuh tahun Noorain Seman dan suami, Mohd Ridzuan Azis menanti detik dikurniakan zuriat sejak mereka diijabkabulkan pada 18 September 2014.

Pelbagai ikhtiar dilakukan pasangan suami isteri itu termasuk dengan berubat secara tradisional namun tidak berjaya.

Berkat kesabaran dan doa tidak henti, mereka akhirnya dikurniakan cahaya mata kembar pada 28 Ogos tahun lalu.

Kedua-dua bayi itu diberi nama Aariz Mikhail dan Airis Mikhayla yang kini berusia sembilan bulan.

Ia hasil usaha mereka menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) pada akhir 2020.

Kisah suami isteri itu mendapat perhatian selepas Noorain, 33, berkongsi video menceritakan perjalanannnya sejak menerima keputusan IVF, detik kehamilan hingga selepas selamat melahirkan cahaya mata.

Berkongsi pengalamannya sebagai pejuang garis dua, Noorain yang menetap di Kampung Kelulut, di sini, mengakui menginginkan cahaya mata sejak awal perkahwinan lagi cuma ditakdirkan belum ada rezeki untuknya sebelum ini.

"Dahulu bila tengok orang lain ada anak, hati saya jadi sayu dan pernah berasa rendah diri kerana tidak hamil walaupun sudah lama berkahwin.

"Jadi, anak saudara jadi tempat saya bermanja dan bermacam cara dilakukan untuk mendapatkan zuriat termasuk dengan berjumpa ustaz, berurut dan mengambil makanan tambahan untuk kesuburan tetapi tidak berhasil.

NOORAIN Seman dan Mohd Ridzuan Azis bersama bayi kembar mereka. FOTO Ihsan Noorain
NOORAIN Seman dan Mohd Ridzuan Azis bersama bayi kembar mereka. FOTO Ihsan Noorain

"Saya juga bertemu pakar bagi menjalani pembedahan laporoscopy pada 2016 akibat cyst iaitu ketumbuhan dalam ovari namun tetap sama (tidak hamil) dan sebagai manusia, tentunya ada perasaan sedih tetapi saya hanya mampu reda saja ketika itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Meskipun begitu, Noorain bersyukur kerana suami, Mohd Ridzuan, 34, tidak pernah mengatakan dia punca atau menjadikan alasan tiada zuriat untuk berpoligami sebaliknya sentiasa mengajaknya bersangka baik dengan Allah dan berdamai dengan takdir.

Katanya, penerimaan suami itu membuatkannya positif hingga kuat berdepan ujian hidup tanpa zuriat.

"Seperti saya, suami juga mahukan anak namun dia selalu ingatkan untuk percaya soal rezeki dan tenangkan setiap kali saya gelisah memikirkan soal zuriat.

"Keluarga belah saya mahupun suami boleh menerima, cuma biasalah pada awal perkahwinan, ada juga saudara mara tanya bila lagi mahu dapat anak.

"Lama kelamaan tiada lagi pertanyaan seperti itu diterima termasuk daripada rakan terdekat mungkin kerana mereka enggan saya tersinggung," katanya yang menjalani perhubungan jarak jauh kerana suaminya bertugas di Kuantan, Pahang.

Menceritakan pengalamannya menjalani IVF, Noorain mengakui khuatir dirinya tidak dapat menerima hakikat seandainya rawatan dijalankan tidak berjaya.

Bagaimanapun dia dan suami nekad malah sanggup membelanjakan wang simpanan mereka RM30,000 untuk menjalani rawatan berkenaan.

"Saya takut sangat jika gagal malah ketika buat rawatan, saya seperti berperang dengan emosi.

"Perasaan jadi bercampur baur dan takut malu jika gagal kerana memikirkan apa persepsi orang terhadap saya.

"Alhamdulillah, percubaan sulung itu berhasil dan ikutkan dapat seorang anak pun saya sudah bersyukur namun ditakdirkan Allah kurniakan sepasang kembar walaupun pada awal pemeriksaan hanya kelihatan satu janin sahaja," katanya yang menetap selama sebulan di Masai, Johor bagi menjalani rawatan IVF.

Mengenai kisahnya yang tular di laman sosial, Noorain berkata, tujuannya berkongsi video di TikTok adalah untuk beri semangat dan inspirasi kepada pejuang garis dua yang lain.

"Di samping itu, saya juga mahu berkongsi ilmu dan Alhamdulillah, ramai tertarik untuk cuba rawatan IVF selain memuji suami kerana setia bersama saya.

"Ramai juga yang mendoakan kerana ada segelintirnya mengikuti perjalanan saya dari awal dan terima kasih diucapkan buat semua.

"Buat pejuang garis dua di luar sana, jangan berputus asa, terus ikhtiar dan yakin Allah akan beri rezeki pada masa yang tepat," katanya.

Sementara itu, Mohd Ridzuan mengakui tidak pernah tertekan atau memikirkan pandangan orang sekeliling hanya kerana belum dikurniakan zuriat sebelum ini.

"Biasalah manusia boleh kata apa sahaja namun saya percaya dengan rezeki ditetapkan Allah dan cuba ajak isteri berikhtiar selagi termampu.

"Akhirnya Allah makbulkan doa kami berdua, syukur Alhamdulillah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 1:27 PM