Nor 'Asyikin Mat Hayin


UMUM mengetahui, amalan berpoligami dibenarkan dalam Islam dan ia sah di sisi agama.

Bagaimanapun, perkara ini menjadi perdebatan ramai apabila ada segelintir suami menggunakan alasan berpoligami kerana tiada zuriat.

Lebih menghangatkan keadaan apabila golongan ini turut mengeluarkan kenyataan, lebih baik berkahwin lain daripada menjalani rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF).

Namun, persoalannya adakah benar poligami adalah penyelesaian masalah kepada pasangan cuba untuk hamil (TTC)?

Sihat minggu ini mendapatkan Pakar Sakit Puan dan Perbidanan Metro IVF Dr Ahmad Zharif Hussein bagi menjawab persoalan itu.

Dr Ahmad Zharif memberikan dua jawapan iaitu 'tidak' dan 'ya,' adalah berdasarkan kepada senario pasangan TTC terbabit.

Menurutnya, untuk jawapan 'tidak,' poligami bukan rawatan atau penyelesaian pertama bagi suami pasangan TTC. Daripada segi kesuburan, perlu melakukan pemeriksaan teliti ke atas pasangan suami isteri terbabit.

"Doktor akan mengenal pasti faktor suami seperti masalah daripada sperma yang boleh diperbaiki atau faktor isteri iaitu masalah daripada rahim, kilang telur (ovari) atau saluran peranakan (tiub fallopian).

"Selepas dikenal pasti faktor yang menjadi sebab mereka lewat mendapat zuriat, doktor akan bantu dan memberi cadangan rawatan bersesuaian untuk pasangan TTC.

ADA suami langsung tiada sperma dan memberi tekanan kepadanya.
ADA suami langsung tiada sperma dan memberi tekanan kepadanya.

"Rawatan itu sama ada mencuba secara normal menggunakan ubat seperti 'clomid' dan 'letrozole' atau prosedur permanian beradas (IUI) serta IVF," katanya.

Beliau berkata, peratusan kejayaan untuk hamil menggunakan kaedah IVF ialah lebih tinggi iaitu 45 hingga 55 peratus, berbanding kaedah semula jadi dengan ubat dan IUI.

Dr Ahmad Zharif berkata, untuk penjelasan jawapan kedua, 'ya,' poligami sebagai antara penyelesaian untuk suami pasangan TTC memiliki zuriat.

"Ini berlaku selepas pasangan TTC membuat saringan kesuburan suami isteri, doktor mendapati isteri tidak mampu untuk memberi anak kepada suami.

"Contoh keadaan isteri tidak boleh melakukan kaedah IVF ialah apabila isteri tiada rahim, kilang telur (ovari) gagal berfungsi iaitu seperti wanita sudah putus haid dan kerana faktor kesihatan yang tidak membolehkan isteri hamil.

"Meskipun ada kaedah ibu tumpang (surrogacy mother) dan derma telur (oocyte donor), tetapi dalam Islam hukumnya adalah haram," katanya.

Katanya, dalam keadaan itu doktor akan menyarankan supaya mengambil anak angkat dahulu. Tetapi sekiranya tidak mahu mengambil anak angkat, pasangan itu perlu berbincang serta mendapatkan persefahaman untuk suami berpoligami tanpa mengaibkan isteri pertama.

Jelas Dr Zharif, jika selepas enam bulan berkahwin, tetapi suami isteri belum dikurniakan zuriat, mereka perlu membuat saringan kesuburan untuk mengenal pasti punca dan faktor yang boleh diperbaiki.

"Ada pasangan tidak mengetahui cara 'bersama' yang betul dan terdapat yang tidak mengetahui kiraan waktu subur yang tepat.

"Doktor akan membuat saringan kesuburan daripada segi air mani suami dan imbasan ultra bunyi, darah hormon serta saluran peranakan isteri.

TEKANAN
TEKANAN

"Doktor juga akan mengenal pasti bahagian mana yang perlu diperbaiki ketika 'bersama,' sama ada terhadap suami atau isteri. Kemudian rawatan kesuburan akan dicadangkan selepas saringan kesuburan dilakukan," katanya.

Menyentuh punca lelaki tidak subur katanya, kesuburan lelaki bergantung kepada sperma yang dilihat daripada aspek kuantiti, pergerakan dan kualiti.

"Antara faktor yang mempengaruhi kesuburan lelaki adalah usia, cara hidup, penyakit dan keadaan persekitaran.

"Faktor yang boleh diperbaiki ialah hanya mengubah cara hidup, mengawal penyakit seperti kencing manis, pengambilan suplemen sesuai untuk meningkatkan kualiti dan pergerakan sperma," katanya.

Beliau berkata, keadaan paling rumit dan menyukarkan dalam rawatan kesuburan lelaki apabila suami langsung tiada sperma atau daripada segi terminologi perubatan dikategorikan sebagai azoospermia.

"Dalam keadaan ini, rawatan kesuburan yang boleh dilakukan hanyalah kaedah IVF dan mengambil sperma secara pembedahan iaitu aspirasi sperma testis (TESE) atau aspirasi sperma epididimal perkutaneus (PESA).

"Ada juga keadaan selepas membuat pembedahan mengambil sperma, namun masih lagi tiada sperma dalam kilang telur lelaki (testis).

"Jika keadaan berterusan (suami masih tiada sperma), maka mengambil anak angkat antara penyelesaiannya.

"Dalam Islam hukum derma sperma adalah haram dan doktor tidak akan menyarankan pasangan TTC beragama Islam untuk menggunakan kaedah berkenaan bagi mendapatkan cahaya mata," katanya.

Ditanya adakah lelaki berkahwin lebih daripada seorang boleh menjejaskan kesuburan mereka, Dr Zharif berkata, amalan itu tidak akan menjejaskan tahap kesuburan lelaki, tetapi usia dan cara hidup berpoligami mungkin mengganggu kesuburannya.

"Seperti kita ketahui, kebanyakan pasangan poligami mengalami tekanan terlalu tinggi yang boleh mengganggu kesuburan dan aktiviti seksual mereka.

"Zuriat adalah rahsia Allah SWT dan kita hanyalah hamba yang berusaha untuk memilikinya. IVF adalah rawatan kesuburan terkini yang menjamin kejayaan tinggi untuk memiliki zuriat.

"Saya ada pesakit yang berkahwin kali kedua, tetapi masih tidak dikurniakan zuriat. Akhirnya dia (pesakit) mengambil keputusan melakukan prosedur IVF kepada kedua-dua isterinya dan berjaya hamil," katanya.

Menurutnya, jika dikirakan kos dan perasaan yang hendak dikorbankan, prosedur IVF lebih berbaloi daripada poligami.

Tegasnya, poligami bukanlah penyelesaian utama untuk pasangan TTC. Ia adalah pilihan selepas saringan kesuburan dilakukan pasangan suami isteri itu selepas dikenal pasti isteri tidak boleh hamil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 7:00 AM