Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Selain meluaskan kawasan pencarian, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut menggunakan alat pengesan sonar bagi mengesan bot karam yang menyaksikan dua nelayan hilang di perairan Parit Hailam di sini, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diteruskan hari ini mendapat bantuan alat pengesan sonar dan pasukan penyelam.

Katanya, peralatan berkenaan adalah bagi mengenal pasti kedudukan tepat bot yang tenggelam sama ada di dasar dan berapa meter kedalaman daripada bacaan teknologi sonar.

"Pada hari ketiga operasi SAR ini, kawasan pencarian diperluaskan sehingga 230 batu nautika persegi membabitkan pelbagai agensi," katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi SAR di lokasi kejadian, hari ini .

Beliau berkata, operasi dibahagikan kepada tiga sektor pencarian dengan memfokuskan pada posisi terakhir dikenal pasti bot yang telah tenggelam berkenaan.

"Di lokasi kejadian terdapat tali tunda dan pelampung yang masih terapung dipercayai daripada bot karam berkenaan.

"Berdasarkan posisi itu, pasukan operasi meminta pengurus bot karam berkenaan untuk menanda menggunakan bot yang lain supaya tidak hilang dari posisi asal bot yang telah tenggelam," katanya.

Katanya, anggaran kedalaman air di lokasi kejadian kira-kira 40 meter dan memerlukan pasukan teknologi sonar untuk mendapatkan bacaan sama ada 40 meter atau berada kedalaman yang lain.

"Sehingga jam 1 petang kedua-dua mangsa belum dijumpai menjadikan kawasan pencarian diperluaskan lagi.

"Kawasan pencarian diluaskan kerana kemungkinan sama ada mangsa ada yang terkeluar atau atau masih terperangkap dalam bot berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, seramai 32 orang pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terlibat dalam operasi SAR berkenaan.

"Beberapa buah bot nelayan tempatan juga turut membantu dalam operasi SAR berkenaan," katanya.

Semalam media melaporkan dua dua nelayan hilang selepas bot mereka karam ketika cuaca buruk di perairan Parit Hailam, dekat sini kira-kira jam 5 petang.

Mangsa ialah Te Chia Rong, 38, yang tinggal di Kampung Parit Botak, Mukim 10 dan Chia Hock Neng, 60, dari Jalan Rengit Impian 2, Taman Impian, Rengit.

Bot nelayan berkenaan dikendalikan oleh empat nelayan rakyat tempatan yang keluar untuk memukat.

Bagaimanapun, keadaan cuaca buruk dan ombak besar menyebabkan bot terbalik seterusnya karam.

Tekong dan seorang lagi kru berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bot dan diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada berhampiran, namun dua lagi tidak sempat untuk menyelamatkan diri, dipercayai sedang tidur semasa bot menarik pukat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 3:14 PM
Kawasan operasi SAR diperluas 230 batu nautika bagi mencari mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Parit Hailam, Batu Pahat. Foto Essa Abu Yamin
Kawasan operasi SAR diperluas 230 batu nautika bagi mencari mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Parit Hailam, Batu Pahat. Foto Essa Abu Yamin