MAYAT mangsa terakhir tragedi bot karam di perairan Parit Hailam di Batu Pahat Johor, berjaya ditemui kira-kira 12 tengah hari tadi. Foto ihsan JBPM
MAYAT mangsa terakhir tragedi bot karam di perairan Parit Hailam di Batu Pahat Johor, berjaya ditemui kira-kira 12 tengah hari tadi. Foto ihsan JBPM
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Mayat mangsa terakhir tragedi bot karam yang menyebabkan dua nelayan hilang di perairan Parit Hailam di sini 14 hari lalu, berjaya ditemui kira-kira 12 tengah hari tadi.

Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba (PPGB) Othman Mohd Baher berkata, mangsa, Chia Hock Neng, 60, ditemui kira-kira 500 meter dari pesisir pantai, Parit Botak Rengit, di sini.

Katanya, bagaimanapun mangsa yang tersangkut di bahagian enjin bot hanya berjaya dinaikkan kira-kira 5 petang.

"Kami menerima panggilan daripada polis berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikesan berada di kedudukan enjin bot.

"Kemudian pada 2.30 petang, selepas pemantauan dan penilaian dilakukan, operasi menaikkan mangsa tidak dapat dilakukan kerana faktor keselamatan.

"Namun pada 2.45 petang, bomba melakukan usaha SAR sehingga jam 5 petang, apabila Pasukan Keluaran Operasi (PKO) berjaya menaikkan mayat mangsa yang tersangkut di bahagian enjin.

"Keadaan tubuh badan mayat yang ditemui masih sempurna dan berpakaian lengkap, kemudian diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Batu Pahat untuk tindakan lanjut, " katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, seramai 13 anggota PKO dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Kluang, dua anggota PKO BBP Ayer Hitam dan tiga anggota PPDA Skudai bersama aset termasuk bot terbabit dalam operasi berkenaan.

"Operasi tamat pada 5.45 petang," katanya.

Terdahulu, Te Chia Rong, 38, seorang lagi daripada dua nelayan tempatan hilang selepas bot dinaiki karam ketika keluar menangkap ikan di perairan Parit Hailam di sini pada Rabu, ditemukan lemas pada 19 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 10:52 PM