LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Seorang daripada dua nelayan tempatan yang dilaporkan hilang akibat bot yang dinaiki mereka karam ketika keluar menangkap ikan petang Rabu lalu di perairan Parit Hailam, ditemui lemas, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, mangsa, Te Chia Rong, 38, ditemui tersangkut pada jaring pukat oleh pasukan penyelam agensi swasta yang dilantik keluarganya.

"Penyelam berjaya menaikkan mayat ke permukaan pada jam 11.45 pagi tadi.

"Mayat dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Sehingga kini kerja-kerja menyelam sedang giat dijalankan untuk mengesan seorang lagi mangsa, Chia Hock Neng, 60, yang masih hilang," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, APMM semalam menggunakan khidmat pihak profesional bagi mengapungkan bot karam berkenaan.

"Bagaimanapun usaha berkenaan mengalami kesukaran akibat cuaca buruk dan ombak kuat.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) semalam membabitkan 52 pegawai dan anggota daripada APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya.

Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan boleh menghubungi talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07- 4344020 atau talian bantuan kecemasan, MERS 999.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 8:38 PM