MIOR Faridalathrash (tiga, kanan) merasmikan Balai Polis Pulau Pangkor. FOTO BERNAMA
MIOR Faridalathrash (tiga, kanan) merasmikan Balai Polis Pulau Pangkor. FOTO BERNAMA
Noor Hidayah Tanzizi

Pangkor: Seorang remaja perempuan yang juga rakan kepada mangsa yang didakwa dirogol enam lelaki pada 18 Julai lalu, turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Difahamkan, remaja itu ditahan dalam tempoh yang sama dengan enam suspek lelaki, menjadikan keseluruhan suspek ditahan berhubung kes itu adalah seramai tujuh orang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semua suspek kes masih ditahan dan pihaknya juga masih menunggu arahan lanjut daripada pihak pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk proses seterusnya.

"Kita turut menahan remaja perempuan yang juga rakan kepada mangsa yang membawa suspek lelaki berjumpa dengan mangsa.

"Kita sudah serahkan kertas siasatan kepada TPR dan diminta untuk mengambil beberapa tindakan. Kita akan merujuk semula kertas siasatan kepada pihak TPR untuk arahan pertuduhan," katanya pada Majlis Perasmian Balai Polis Pulau Pangkor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Media sebelum ini melaporkan, enam lelaki termasuk remaja terbabit ditahan selepas didakwa merogol mangsa berusia 16 tahun di sebuah rumah, 18 Julai lalu.

Semua suspek berkenaan ditahan di sekitar Ipoh susulan laporan polis dibuat ibu mangsa selepas menemui anak perempuannya itu dalam keadaan khayal di rumah berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan berhubung kes rogol remaja perempuan berusia 14 tahun membabitkan penceramah bebas yang ditahan di Selangor, 18 Julai lalu, Mior Faridalathrash berkata, siasatan akan dilakukan selepas suspek itu diserahkan kepada pihaknya.

"Difahamkan, suspek masih ditahan di Kuala Lumpur dan mungkin selepas siasatan (selesai) akan dibawa ke Perak untuk kita menjalankan siasatan," katanya.

Untuk rekod setakat ini, empat kertas siasatan sudah dibuka iaitu dua di Selangor, satu di Kuala Lumpur dan satu di Perak membabitkan pengadu yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 3:31 PM