Keratan laporan terdahulu.
Keratan laporan terdahulu.
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Mayat seorang lelaki dan tiga wanita yang ditemukan terapung tanpa identiti di perairan Pulau Jarak di Pulau Pangkor, di sini semalam, dipercayai mangsa bot karam di Sekinchan, Selangor pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan penemuan itu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak pada 4.50 petang dan mayat tiba di Jeti Kastam Kampung Acheh, Sitiawan pada 6.30 petang sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM).

"Siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang lelaki dan tiga perempuan, tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, terdapat satu laporan polis dibuat seorang individu di Sekinchan pada 2.49 petang, Isnin lalu berhubung sebuah bot tenggelam di perairan dekat daerah berkenaan.

Katanya, individu itu mendakwa dihubungi pekerjanya pada 3.30 petang, Sabtu yang memaklumkan ternampak sebuah bot tidak pasti pemiliknya dinaiki kira-kira 20 individu, telah tenggelam.

"Kemungkinan besar mayat yang dijumpai ada berkaitan dengan laporan berkenaan. Keempat-empat mayat berkenaan dihantar ke Unit Forensik HSM untuk dibedah siasat esok selepas saringan ujian Covid-19 dilakukan.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Terdahulu, APMM menerima maklumat penemuan empat mayat berkenaan daripada komuniti maritim pada jam 9.05 pagi sebelum menggerakkan aset ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

APMM tidak menolak sebarang kemungkinan unsur jenayah disebabkan tiada sebarang aduan orang jatuh laut atau permohonan bantuan perubatan.

Berita berkaitan

4 mayat ditemukan terapung, disyaki ada unsur jenayah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 12:22 AM