Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Kertas siasatan berhubung kes buli membabitkan pelajar lelaki tingkatan dua yang cedera dipukul 10 pelajar senior yang turut menggunakan seterika panas, Khamis lalu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, reman 10 pelajar berusia 16 dan 17 tahun terbabit yang berakhir esok tidak disambung kerana siasatan sudah selesai.

Menurutnya, kesemua remaja lelaki berkenaan akan dibebaskan dengan jaminan polis esok.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak TPR Perak untuk arahan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibenarkan pulang dan sudah keluar Hospital Teluk Intan, semalam.

"Mangsa mengalami retak tulang rusuk belakang serta kecederaan tisu lembut pada betis kanan, dada, belakang, kedua lengan, dagu dan pipi.

"Selain itu, ada kesan melecur ditekap seterika di belakang badan sebelah kanan," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 1:44 PM