Hussein Omar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Hussein Omar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis menumpaskan kegiatan jenayah 'Geng K-Boy' yang aktif mencuri kenderaan mewah sejak setahun lalu.

Ia susulan penahanan tujuh individu termasuk ketuanya dalam serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Perak antara 27 hingga 30 Jun lalu.

Turut ditahan dua wanita berusia 31 hingga 54 tahun yang dipercayai ahli kumpulan geng berkenaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, penangkapan geng berkenaan dibuat susulan laporan dibuat seorang lelaki berusia 42 tahun pada 24 Jun lalu.

Menurutnya, lelaki itu memaklumkan rumah sewa majikannya di Taman Ehsan, Kepong dipecah masuk dan tiga kereta mewah model Audi R8, Posche 718 Cayman dan Suzuki Swift dilarikan suspek.

"Kejadian itu menyebabkan majikannya kerugian kira-kira RM700,000. Semasa kejadian, majikannya berada di China.

"Susulan maklumat diterima, polis membuat serbuan di sekitar Kuala Lumpur; Johor Bahru dan Perak serta menahan lima lelaki dan dua wanita.

"Tangkapan membabitkan perancang utama bersama tiga rakannya yang melakukan pecah rumah dan curi kenderaan. Manakala, tiga lagi adalah individu yang mempunyai pengetahuan berkaitan kegiatan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, tadi.

Beliau berkata, polis juga berjaya merampas empat kenderaan termasuk tiga yang dilarikan suspek berdasarkan laporan di Kepong tersebut selain peralatan jenayah.

Katanya, kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Perancang utama berusia 38 tahun mempunyai 16 rekod jenayah dan lima rekod dadah. Modus operandi kumpulan ini adalah mengenalpasti kediaman yang memiliki kenderaan mewah sebelum melakukan pecah rumah dan melarikan kenderaan itu.

"Suspek dipercayai menggunakan kenderaan yang dicuri untuk aktiviti jenayah lain selain menjualnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 4:04 PM