GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pertumbuhan ekonomi Selangor pada tahun lepas menyaksikan negeri itu menerajui sumbangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, sebanyak 25.9 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia diikuti Kuala Lumpur (15.9 peratus), Johor (9.5), Sarawak (9.1 peratus), Pulau Pinang (7.4 peratus) dan Sabah (5.3 peratus)

"Enam negeri ini menyumbang 73.0 peratus kepada ekonomi nasional pada tahun 2023 berbanding 72.9 peratus pada 2022.

"Pada tahun 2023, ekonomi Malaysia berkembang sederhana sebanyak 3.6 peratus, namun semua negeri mencatatkan pertumbuhan positif yang menggalakkan," katanya ketika sesi Pembentangan serta Soal Jawab Berkenaan Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) KDNK Mengikut Negeri, 2023, secara dalam talian, hari ini.

Beliau berkata bagi prestasi ekonomi mengikut negeri pada 2023, empat negeri mengatasi perumbuhan di peringkat nasional iaitu Selangor yang berkembang 5.4 peratus, Pahang 5.2 peratus, Johor 4.1 peratus dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 3.7 peratus.

Katanya prestasi ekonomi Selangor, Pahang dan Johor dipacu oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan.

"Bagi Selangor dan Johor, sektor perkhidmatan berkembang masing-masing 6.1 peratus dan 5.4 peratus didorong pertumbuhan subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi.

"Sementara itu, bagi Pahang, pengembangan sektor ini sebanyak enam peratus disokong oleh perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan," katanya.

Mohd Uzir berkata pengembangan sektor pembuatan sebanyak dua peratus di Selangor pula disebabkan pertumbuhan subsektor peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (6.2 peratus) serta produk minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan dan pemprosesan makanan (10.3 peratus).

Bagi Johor, sektor pembuatannya meningkat 2.8 peratus didorong pertumbuhan produk elektrik, elektronik dan optikal (2.9 peratus) manakala di Pahang, pertumbuhan 6.7 peratus bagi produk petroleum, kimia, getah dan plastik telah menyumbang kenaikan 2.1 peratus bagi sektor pembuatan negeri ini, kata beliau.

"Sementara itu, pengembangan ekonomi Kuala Lumpur dipacu oleh sektor perkhidmatan yang bertumbuh 4.9 peratus, disokong perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan," katanya.

Beliau berkata pertumbuhan sektor perkhidmatan terutama di sektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan serta utiliti, pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi berupaya mengimbangi penurunan dalam sektor pembuatan di beberapa negeri.

Penurunan sektor ini disebabkan pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal yang terkesan oleh permintaan global yang melemah terutama melibatkan semikonduktor, litar bersepadu dan alat ganti, kata Mohd Uzir.

"Pulau Pinang yang merupakan pengeluar utama produk elektrik dan elektronik negara merekodkan kejatuhan sektor pembuatan sebanyak 0.5 peratus disebabkan penyusutan pengeluaran produk berkenaan sebanyak 0.8 peratus.

"Bagaimanapun, pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak enam peratus mengimbangi kejatuhan ini, sekali gus meningkatkan KDNK Pulau Pinang kepada 3.3 peratus," katanya.

Beliau berkata sektor pertanian yang merupakan penyumbang ketiga terbesar KDNK nasional pada 2023, menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding 2022 sebanyak 1.3 peratus.

"Pahang muncul sebagai peneraju utama dalam sektor ini, bertumbuh 2.5 peratus (2022: 6.8 peratus) diikuti oleh Sarawak dengan kadar pertumbuhan dua peratus (2022: 1.8 peratus) dan Melaka dengan peningkatan 6.5 peratus (2022 : 0.6 peratus)," kata Mohd Uzir.

Bagi sektor perlombongan dan pengkuarian menyumbang 6.2 peratus kepada KDNK nasional pada 2023, menunjukkan pertumbuhan marginal 0.5 peratus (2022: 3.5 peratus).

Beliau berkata sektor pembinaan yang menyumbang 3.6 peratus daripada KDNK nasional, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.1 peratus, mengukuh daripada 5.1 peratus pada tahun sebelumnya.

"Prestasi ini didorong oleh pertumbuhan dua angka di Selangor iaitu 10.2 peratus (2022: 4.2 peratus), diikuti oleh Pahang 37.1 peratus (2022: -1.0 peratus), Johor 13.2 peratus (2022: 15.9 peratus), dan Sarawak 8.3 peratus (2022: 4.0 peratus)," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata nilai KDNK per kapita nasional pada tahun 2023 adalah RM54,612.

"Bagi prestasi mengikut negeri, lima negeri merekodkan nilai KDNK per kapita melebihi paras nasional iaitu Kuala Lumpur (RM131,038), Labuan (RM83,596), Pulau Pinang (RM72,586), Sarawak (RM72,411) dan Selangor (RM62,492)," katanya.

Mengenai prospek, beliau berkata ekonomi Malaysia bagi tahun 2024 berdasarkan Indeks Pelopor dari Januari hingga April 2024 menunjukkan prestasi ekonomi akan mengalami pertumbuhan berterusan dalam tempoh terdekat disebabkan peningkatan dalam semua komponen kecuali Import Benar Semi Konduktor.

"Indikator lain seperti keyakinan pengguna, pengeluaran perindustrian dan aliran eksport juga telah menunjukkan daya tahan dan potensi pertumbuhan.

"Faktor-faktor ini dijangka menyumbang kepada trajektori yang stabil bagi ekonomi Malaysia pada tahun akan datang," katanya.

Mohd Uzir berkata pertumbuhan berterusan juga dapat dilihat melalui prestasi KDNK suku pertama tahun 2024 yang lebih baik dengan pertumbuhan 4.2 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Persekitaran ekonomi yang menggalakkan ini membolehkan pasaran buruh negara mengekalkan pertumbuhan yang stabil dengan peningkatan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh daripada 70.1 peratus pada suku keempat tahun 2023 kepada 70.2 peratus suku pertama tahun 2024, katanya.

"Kadar Pengangguran pada suku tahun pertama 2024 kekal pada 3.3 peratus seperti yang dicatatkan pada suku yang lalu.

"Bagaimanapun, cabaran seperti ketidaktentuan ekonomi global dan ketidakstabilan harga komoditi kekal sebagai faktor penting yang mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia," kata Mohd Uzir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 3:57 PM