PEMANDU treler yang tersepit dalam kemalangan empat treler. FOTO  Ihsan Pembaca
PEMANDU treler yang tersepit dalam kemalangan empat treler. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Lima lelaki dengan seorang dilaporkan parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan empat treler di Kilometer 163.0 Lebuhraya Utara Selatan dekat Kampung Titi Hitam, Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, seramai 18 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal serta Sungai Bakap ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.50 pagi.

Katanya, sebaik tiba didapati empat treler terbabit kemalangan dengan seorang mangsa lelaki parah akibat tersepit pada bahagian tempat pemandu.

"Secara keseluruhannya terdapat lima mangsa dengan seorang daripadanya parah, seorang cedera ringan, satu selamat manakala dua lagi tiada maklumat diperoleh setakat ini.

"Anggota kemudian melakukan kerja penyelamatan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

"Mangsa berjaya dikeluarkan pada 8.10 pagi dan dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada 9.46 pagi.

Terdahulu, tular di media sosial gambar serta video keadaan empat treler yang salah satunya membawa muatan gas memasak terbabit kemalangan.

Mengikut paparan gambar dan video berkenaan berkemungkinan satu daripada kenderaan berat itu dipercayai hilang kawalan sebelum berlaku pelanggaran dari belakang antara empat treler terbabit.

Kemalangan itu dikatakan menyebabkan berlaku kesesakan teruk di daerah Seberang Perai Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 6:17 PM