Treler terbalik yang menyebabkan nahas enam kenderaan. FOTO Ihsan JBPM
Treler terbalik yang menyebabkan nahas enam kenderaan. FOTO Ihsan JBPM
Oleh Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Polis giat mengumpul maklumat mangsa yang terbabit dalam nahas membabitkan enam kenderaan termasuk dua treler di Kilometer 164.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Bukit Minyak-Sungai Bakap, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Ng Ah Thiam, berkata maklumat lengkap akan dimaklumkan kelak memandangkan kemalangan itu membabitkan jumlah mangsa agak ramai dan memerlukan sedikit masa.

"Pegawai penyiasat kini telah turun mengumpul maklumat, namun masa agak lama diperlukan bagi melengkapkan siasatan ini kerana mangsa yang terbabit agak ramai dan mereka (mangsa cedera) dihantar ke tiga hospital berlainan untuk mendapatkan rawatan.

"Bagi mangsa yang maut proses bedah siasat masih dijalankan dan polis belum lagi terima keseluruhan identiti mangsa yang terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal dipercayai kemalangan itu berlaku susulan dua treler bergesel dan jalan agak licin ketika kejadian kerana hujan.

Menurutnya, treler yang membawa muatan kayu terbalik dan menghempap sebuah kereta serta tiga kenderaan lain yang tidak sempat mengelak.

"Treler yang membawa muatan kayu itu dikatakan dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke utara. Kejadian menyebabkan treler berkenaan melintang dan menutupi jalan," katanya.

Menurutnya, lokasi nahas sudah dibersihkan pihak petugas berkaitan dan aliran trafik kembali lancar.

Terdahulu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan berhubung kemalangan membabitkan 21 individu.

Dalam kemalangan sekitar jam 4.30 pagi tadi, seorang wanita warga tempatan dilaporkan maut di tempat kejadian manakala seorang parah, enam cedera ringan dan 13 individu lagi selamat.

Mengikut laporan yang dikemaskini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, mangsa yang maut berusia lingkungan 60-an manakala pemandu treler yang membawa muatan kayu berusia 30-an cedera parah dan yang cedera ringan terdiri daripada individu berusia antara 20-an hingga 50-an.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 3:08 PM