ANGGOTA bomba membawa keluar mayat pemandu treler yang tersepit selepas treler dipandunya terbabas ke dalam parit dan melanggar tembok sebuah bengkel kereta di Jalan Kapar Batu 15. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membawa keluar mayat pemandu treler yang tersepit selepas treler dipandunya terbabas ke dalam parit dan melanggar tembok sebuah bengkel kereta di Jalan Kapar Batu 15. FOTO Ihsan JBPM
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Seorang lelaki maut akibat tersepit selepas treler dipandunya terbabas ke dalam parit dan melanggar tembok sebuah bengkel kereta di Jalan Kapar Batu 15, dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 11.59 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi.

"Menurut laporan awal, sebuah treler terbabit kemalangan menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu selama kira-kira 30 minit.

"Mangsa yang cedera parah berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya ketika dihubungi.

Norazam berkata, mangsa dikenali sebagai Abdul Rahman Dan, 50, yang beralamat di Sungai Semambu, Bagan Serai, Perak.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 4:23 PM