FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Melaka: Sebanyak 12 premis berkaitan jagaan kanak-kanak terpaksa ditutup selepas Melaka mencatatkan 1,378 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), setakat 14 Mei lepas.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, peningkatan semula bilangan kes HFMD yang dilaporkan adalah selepas cuti Aidilfitri yang berlaku atas faktor pergerakan dan taska, tadika serta pusat penjagaan sudah beroperasi semula.

"Terdapat peningkatan 1,322 kes atau 24.6 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu 56 kes, dengan 95.5 peratus kes adalah kalangan berumur sehingga enam tahun.

"Untuk itu, sebanyak 12 premis merangkumi tadika, taska dan pusat penjagaan kanak-kanak diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana berlaku wabak HFMD di premis berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak lapan kes HFMD dilaporkan dimasukkan ke wad pada Minggu Epidemiologi 19 (ME19) iaitu 8 Mei hingga 14 Mei 2022, peningkatan enam kes berbanding minggu sebelumnya iaitu dua kes.

"Secara keseluruhan, jumlah kemasukan ke wad kanak-kanak atau perubatan adalah 67 kes dan majoriti kes (91.4 peratus) dirawat sebagai pesakit luar. Tiada kematian dilaporkan setakat ini," katanya.

Mengikut pecahan daerah pula, Dr Muhamad Akmal menjelaskan, daerah Melaka Tengah mencatat 124 kes, peningkatan sebanyak 69 kes (125.4 peratus) berbanding minggu sebelumnya iaitu 55 kes.

"Sementara di Alor Gajah dan Jasin, masing-masing melaporkan 162 kes dan 115 kes. Kedua-dua daerah ini meningkat 100 peratus berbanding sebelum ini yang tiada kes," katanya.

Dr Muhamad Akmal turut menjelaskan, setakat 14 Mei juga, terdapat tiga kluster HFMD dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan 16 kluster wabak dengan daerah Jasin mencatat bilangan tertinggi iaitu 11 (68.8 peratus) diikuti empat di Melaka Tengah (25 peratus) dan Alor Gajah satu (6.2 peratus).

"Tadika, taska dan pusat jagaan adalah premis tertinggi berlaku HFMD iaitu 12 kluster (75 peratus)," katanya.

Bagi mengekang penularan wabak, pemeriksaan dan pemantauan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah akan dilakukan ke atas persekitaran berisiko seperti taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak.

Dr Muhamad Akmal berkata, 30 premis sudah diperiksa setakat ini manakala taklimat serta Town Hall membabitkan 900 premis berkaitan pusat penjagaan kanak-kanak kerajaan dan swasta, guru dan pengusaha akan diadakan dalam empat sesi.

"Ibu bapa juga dinasihatkan tidak membawa anak-anak yang mempunyai gejala penyakit itu ke tempat awam, tadika, taska atau pusat asuhan untuk mengelak ia menular.

"Paling utama, sentiasa amalkan kebersihan premis dengan memastikan peralatan yang digunakan kanak-kanak seperti sudu, pinggan, meja dan alatan permainan sentiasa dibersihkan dan dinyahkuman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 9:24 AM