GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat


Ayer Keroh: Penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 1,378 kes direkodkan sehingga Sabtu lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 24.6 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu yang hanya merekodkan 56 kes.

Katanya, jangkitan tertinggi adalah membabitkan kanak-kanak berusia bawah enam tahun yang menyumbang 95.5 peratus daripada keseluruhan kes.

"Sebanyak 16 kluster direkodkan dengan daerah Jasin merekodkan jumlah kluster tertinggi iaitu sebanyak 11 kluster, diikuti Melaka Tengah (empat kluster) dan Alor Gajah (satu kluster).

"Secara keseluruhan, Taman Asuhan Kanak-kanak (taska), Taman Didikan Kanak-kanak (tadika) dan pusat jagaan adalah premis tertinggi berlaku wabak HFMD dengan merekodkan 12 kluster.

"Setakat 14 Mei lalu, sebanyak 12 premis berkenaan sudah diarah tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Muhamad Akmal berkata, walaupun berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan HFMD, namun ia masih terkawal dengan hanya 67 kes dimasukkan ke hospital setakat 12 Mei lalu.

Beliau berkata, majoriti kes iaitu 91.4 peratus yang dimasukkan ke hospital juga dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Katanya, bagi mengawal jangkitan daripada terus meningkat, Jabatan Kesihatan negeri mengambil langkah proaktif untuk memeriksa persekitaran premis berisiko seperti taska, tadika dan pusat jagaan, selain memberi khidmat nasihat mengenai aspek kebersihan premis.

Selain itu, katanya, sesi 'townhall' bersama semua pengusaha dan guru taska, tadika, pusat jagaan swasta dan kerajaan diadakan.

"Jabatan Kesihatan Melaka juga akan mengemaskini maklumat berkaitan HFMD di media sosial dan jika berlakunya wabak, arahan penutupan premis akan dikeluarkan sekiranya berlaku wabak HFMD di premis terbabit," katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa supaya tidak membawa anak mereka ke tempat awam dan sekolah sekiranya mempunyai tanda dan gejala penyakit HFMD.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 12:25 PM