GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kelantan semakin membimbangkan apabila meningkat kepada 1,233 kes bagi minggu Epid ke-20 berbanding 945 kes pada minggu Epid ke-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kes itu direkodkan dalam tempoh seminggu iaitu antara 15 hingga 21 Mei lalu.

Katanya, Kota Bharu merekodkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 533 kes, diikuti Pasir Mas (134), Tanah Merah (108), Pasir Puteh (105), Tumpat (92), Kuala Krai (69), Bachok (65), Machang (49), Gua Musang (43) dan Jeli (35).

"Jumlah kumulatif kes HFMD yang dilaporkan di negeri ini bagi tahun ini adalah sebanyak 3,726 kes. Terdapat peningkatan kes sebanyak 1,433 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu, di mana hanya 243 kes sahaja dilaporkan.

"Daripada jumlah kes HFMD, majoritinya adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur antara satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 71.6 peratus, kanak-kanak umur lima dan enam tahun (12.9 peratus) dan bawah satu tahun (8.3 peratus).

"Dari segi kejadian wabak, sebanyak 20 wabak HFMD dilaporkan sehingga minggu Epid ke-20 tahun ini, berbanding dengan hanya satu wabak sahaja bagi tempoh yang sama tahun lalu. Terdapat dua wabak baru dilaporkan dan sebahagian besarnya membabitkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak kecil dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan HFMD iaitu basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan serta sebelum dan selepas menukar lampin atau mencuci najis kanak-kanak.

Menurutnya, mereka juga diminta supaya tidak berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu dengan individu yang bergejala HFMD.

"Ibu bapa kepada kanak-kanak yang menunjukkan tanda atau gejala jangkitan dinasihati untuk tidak menghantar anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak, taska, tadika atau sekolah. Kanak-kanak yang sakit perlu dibawa ke klinik untuk rawatan lanjut.

"Pemilik premis juga dinasihatkan untuk kerap melakukan sanitasi premis terutama pada permukaan dan barangan yang kerap disentuh seperti troli barangan, tombol pintu dan alatan permainan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 2:19 PM