GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Sebanyak 144 kes kaki, tangan dan mulut (HFMD) dilaporkan di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk sehingga Minggu Epid (ME) 17/2022.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, ia peningkatan sebanyak 7.5 kali ganda berbanding pada ME yang sama tahun 2021 iaitu hanya mencatatkan 17 kes.

Menurutnya, sebagai perbandingan, kes HFMD di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan sebanyak 12.8 kali ganda berbanding pada ME yang sama pada 2021.

"Sehingga kini, terdapat tujuh wabak HFMD diisytiharkan yang mana enam wabak (86 peratus) berlaku di daerah Hilir Perak, manakala satu wabak (14 peratus) di daerah Bagan Datuk.

"Kebanyakan lokasi penularan wabak berlaku di tadika, taska, prasekolah iaitu lima wabak (71 peratus) diikuti oleh pusat jagaan kanak-kanak sebanyak dua wabak (29 peratus).

"Tiada wabak dilaporkan di rumah persendirian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Akmal berkata, penyakit HFMD disebabkan oleh keluarga Enterovirus dengan majoriti kes wabak di Hilir Perak dan Bagan Datuk berpunca dari Pan-enterovirus.

Katanya, virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit serta kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.

"Kes HFMD yang dilaporkan banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia 0 hingga enam tahun iaitu 143 kes (99 peratus), diikuti kumpulan berusia antara tujuh hingga 12 tahun iaitu satu kes (satu peratus).

"Tiada kes di laporkan bagi kumpulan umur melebihi 12 tahun," katanya.

Beliau berkata, masyarakat dinasihati agar, ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk memastikan anak bebas dari gejala HFMD sebelum mereka di hantar ke taska, pusat asuhan atau rumah pengasuh bagi mengelakkan perebakan.

Katanya, selain itu, anak yang mempunyai gejala jangkitan perlu dibawa ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah, stesen bas, dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 6:00 PM