Mohd Amin Jalil


Seremban: Sejak Januari hingga 27 April lalu, 958 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Negeri Sembilan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan.

Menurutnya, 81 kes dicatat di Seremban, Port Dickson (16), Jempol (12), Tampin (13), Kuala Pilah (10) dan enam kes di Rembau serta satu kes di Jelebu.

"Setakat ini 13 kes masih aktif iaitu lima di Rembau, Port Dickson (tiga), Jempol (tiga), Tampin (satu) dan Seremban (satu) yang kesemuanya membabitkan tadika, taska serta rumah persendirian.

"Pada Minggu Epid (ME) ke-17, sebanyak 139 kes berkenaan telah direkodkan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) mendapati bilangan kes bertambah susulan pembukaan semula sektor pendidikan dan tempat awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Beliau berkata, jabatan itu akan terus memantau dan mempromosi maklumat, nasihat serta langkah penjagaan bagi membendung penularan penyakit berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai berkata, kes HFMD dalam negara meningkat ketara apabila merekodkan 22,463 kes pada ME 17/2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 10:40 AM