GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kes kematian akibat demam denggi di Negeri Sembilan meningkat kepada sembilan orang sehingga semalam, berbanding enam kes sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, SVeerapan berkata, sebanyak 2,816 kes direkodkan bagi tempoh Januari sehingga 5 Disember lalu.

Katanya, pada minggu ke-49 tahun ini, sebanyak 26 kes lagi direkodkan berbanding minggu sebelumnya sebanyak 30 kes.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes demam denggi dicatatkan di daerah Seremban, manakala masing-masing tiga kes di daerah Jelebu dan Tampin.

"Seremban merekodkan jumlah kumulatif kes tertinggi iaitu sebanyak 2,408, diikuti Tampin (96), Port Dickson (88), Jempol (78), Rembau (67), Jelebu (53), dan Kuala Pilah (26).

"Bagaimanapun bagi minggu ke 49 ini, daerah Rembau dan Port Dickson tiada mencatatkan kes baharu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Daerah Seremban (JKDS) masih meneruskan aktiviti pencegahan dan kawalan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masih dikuatkuasakan.

"Ia membabitkan aktiviti memusnahkan tempat pembiakan aedes yang dilaksanakan dengan mensasarkan premis kediaman dan kawasan persekitaran, selain semburan pengasapan serta promosi kesihatan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

"Masyarakat terutama di taman perumahan diminta memberikan kerjasama bagi melaksanakan aktiviti pembersihan di kawasan premis masing-masing untuk menghapuskan tempat-tempat atau bekas yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes, sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 1:54 PM