Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kes jangkitan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di Negeri Sembilan terus membimbangkan apabila berlaku peningkatan sebanyak 2,249 semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata, daerah ini mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,358 kes.

"Daerah Seremban mencatatkan jumlah kes HFMD paling tinggi diikuti Port Dickson sebanyak 274 kes. Manakala daerah Jempol (200), Rembau (197), Kuala Pilah (87), Tampin (83) dan Jelebu 50 kes.

"Kumulatif wabak HFMD di Negeri Sembilan pada tahun ini adalah sebanyak 35 wabak dan daripada jumlah itu, hanya empat wabak yang masih aktif iaitu tiga di daerah Jempol dan satu di daerah Kuala Pilah," katanya tadi.

Veerapan berkata, peningkatan kes yang ketara pada tahun ini berbanding tahun lepas di Negeri Sembilan adalah berikutan pembukaan semula sektor pendidikan dan tempat-tempat awam.

Beliau berkata, setakat ini tiada pusat Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) atau Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang ditutup.

"Ibu bapa diminta untuk terus memantau tahap kesihatan anak masing-masing dan tidak menghantar anak ke sekolah atau pusat jagaan (Tadika/Taska) jika mengalami gejala HFMD seperti demam, ulser di mulut, lepuh di tangan atau kaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 9:54 PM