GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zaid Salim


Kuala Berang: Empat lelaki dipercayai penagih dadah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah kongsi sebuah kilang papan di Ajil, di sini, malam tadi.

Serbuan dilakukan kira-kira 10.30 malam oleh pasukan peronda Op Selamat selepas Pos Balai Bergerak yang beroperasi di Plaza Tol Ajil, di sini, menerima aduan awam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, serbuan diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Inspektor Zainon Abidin Ismail bersama 14 anggota.

Menurutnya, pihaknya melakukan kepungan apabila melihat empat suspek berusia 34 hingga 40 tahun terbabit berada dalam rumah kongsi ketika serbuan.

"Mereka cuba melarikan diri, namun anggota membuat tindakan pantas sekali gus menggagalkan cubaan suspek untuk meloloskan diri.

"Saringan ujian air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine dan polis turut merampas lima biji pil kuda dalam straw daripada suspek berusia 40 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1957.

Katanya, sepanjang Op Selamat, polis tidak hanya menumpukan kepada penguatkuasaan trafik sahaja, sebaliknya rondaan menyeluruh termasuk kes jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 1:37 PM