Helmy Abd Rahman


Kuala Terengganu: Ibu berusia 63 tahun dan anak antara empat ditahan dalam tiga serbuan berasingan membabitkan kes dadah di bandar raya ini dan Ajil, Hulu Terengganu, Selasa lalu.

Susulan penahanan itu, polis melumpuhkan sindiket pengedaran heroin terbesar di bandar raya ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Superintendan Roslan Tahir berkata, dalam serbuan pertama jam 12.45 malam, polis merampas empat botol heroin dan 25 biji pil kuda selepas menahan dua lelaki berusia 35 dan 55 tahun di Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu, di sini.

“Susulan penahanan berkenaan, di tepi jalan kawasan Kampung Padang Midin, di sini, jam 2.45 petang hari sama, polis menahan seorang lagi suspek berusia 35 tahun disyaki pembekal kepada suspek berusia 55 tahun yang ditahan sebelum itu.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui 20 botol heroin, 10 biji pil eramin 5 dan syabu.

“Berikutan penahanan suspek ketiga, polis menyerbu sebuah rumah di Ajil, Hulu Terengganu sebelum menahan ibunya selepas pasukan serbuan menemui dua peket plastik berisi ketulan kristal dipercayai syabu yang cuba disorok di bawah karpet di kediaman berkenaan.

“Hasil siasatan, polis percaya wanita berusia 63 tahun itu tahu kegiatan anaknya, justeru, kami menahannya untuk membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, semalam.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM17,120 dan polis percaya berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis heroin terbesar di sekitar Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 9:53 AM
ROSLAN (dua dari kanan) dan pegawai menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media, semalam.
ROSLAN (dua dari kanan) dan pegawai menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media, semalam.