DADAH yang dirampas. FOTO ihsan Polis
DADAH yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Juwan Riduan


Kota Marudu: Sepasang kekasih yang dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dadah ditahan polis di pusat peranginan di Pitas, semalam.

Dalam operasi 4 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 22 dan 25 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis yang diketuai oleh Inspektor Redzuan Amat Lin terus melakukan serbuan.

"Hasil serbuan, polis menemui 11 paket plastik lutsinar berlainan saiz bersama enam tiub straw plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 31.8 gram.

"Berdasarkan ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairolnizal berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.

Katanya, suspek terus dibawa ke IPD Kota Marudu untuk siasatan lanjut dan kini direman mengikut seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 10:50 AM