AKSI wheelie' yang dilakukan suspek di Jalan Sungai Tua-Ulu Yam. FOTO ihsan polis
AKSI wheelie' yang dilakukan suspek di Jalan Sungai Tua-Ulu Yam. FOTO ihsan polis
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Keseronokan tayang aksi 'wheelie' di beberapa lokasi di sekitar Gombak, dekat sini, hingga videonya tular tidak bertahan lama apabila penunggang motosikal itu ditahan polis jam 7.30 malam kelmarin.

Terdahulu tular video berdurasi 30 saat berhubung kesalahan yang dilakukan lelaki berusia 28 tahun itu sebelum dia berjaya dikesan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, suspek yang menunggang Yamaha 135LC melakukan aksi berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan di Jalan Sungai Tua-Ulu Yam.

"Semasa ditahan kelmarin oleh BSPT Gombak, polis turut merampas motosikal yang digunakan suspek.

"Suspek direman selama dua hari bermula semalam sebelum dituduh pagi tadi Mahkamah Majistret Selayang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal Mohamed berkata, suspek bagaimanapun tidak mengaku salah atas pertuduhan ke atasnya sebelum dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Sabit kesalahan, suspek yang dituduh mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu dan merbahaya kepada orang awam boleh dihukum penjara selama tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 hingga tidak melebihi RM15,000.

BSPT Gombak turut menyarankan masyarakat untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesan mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar undang-undang jalan raya dengan menghubungi 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 8:57 PM