GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Sarikei: Seorang lelaki warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas perahu dinaikinya karam di Muara Payang, di sini, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai juruteknik di Syarikat Hua Seng Electrical Work, di Sibu, menaiki perahu itu menyusuri Sungai Rajang bersama rakannya dan pemilik perahu dalam perjalanan dari Sarikei.

Rakan mangsa, Romilton Anthony, 27, dalam laporan yang dibuatnya di Balai Polis Sarikei, petang semalam berkata, selepas kira-kira 30 minit perjalanan dari Sarikei, perahu itu karam selepas dipukul gelombang akibat kapal besar yang lalu.

Romilton berkata, dia dan pemilik perahu itu, Bahtiar Janggau, 25, sempat berpaut pada tangki minyak, manakala warga Indonesia terbabit, yang dikenali sebagai Heriayansyah, 25, hilang dibawa arus.

"Saya dan pemilik perahu diselamatkan oleh nelayan yang kebetulan lalu di kawasan itu dan ternampak perahu yang kami naiki karam," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada polis, malam tadi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan hari ini membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei yang menaiki sebuah bot penyelamat.

"Operasi SAR bermula pada jam 7 pagi yang dengan kaedah pencarian di permukaan pada jarak satu kilometer radius dari lokasi mangsa karam selain menyusuri sungai berdekatan.

"Tujuh anggota polis dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut serta dalam operasi itu dengan bot masing-masing," katanya," katanya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 9:56 AM