Anggota Bomba dan Penyelamat Sarikei membawa naik mayat Labi Jaman, 63, yang ditemui lemas di Ulu Sungai Selangan hari ini. - Foto BERNAMA
Anggota Bomba dan Penyelamat Sarikei membawa naik mayat Labi Jaman, 63, yang ditemui lemas di Ulu Sungai Selangan hari ini. - Foto BERNAMA
BERNAMA

Sarikei: Seorang wanita warga emas dari Rumah Lingga, Sungai Selangan dekat sini, yang dilapor hilang sejak petang Khamis, ditemui lemas di Ulu Sungai Selangan.

Mayat Labi Jaman, 63, ditemui suaminya kira-kira 12.30 tengah hari, hari ini, dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya operasi mencari dan menyelamat mangsa diketuai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei dengan dibantu polis, Angkatan Pertahanan

Awam dan penduduk rumah panjang, dimulakan sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira 6.49 petang Sabtu.

Beliau berkata suami mangsa menyedari kehilangan isterinya apabila kembali ke rumah panjang mereka pada petang Khamis, lalu meminta bantuan penduduk rumah panjang berkenaan untuk mencari mangsa.

Bagaimanapun selepas gagal menemui isterinya, suami mangsa membuat laporan polis pada 5.30 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 9:14 PM