Gambar hiasan. FOTO Ihsan APMM.
Gambar hiasan. FOTO Ihsan APMM.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kru bot nelayan hilang selepas terjatuh di laut berdekatan Pulau Burong, Sebuyau dekat sini, semalam.

Francis Awi, 39, kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang berwarna kelabu dan seluar panjang warna senada.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mangsa diaktifkan sejurus menerima laporan daripada pemilik bot itu pada 12 tengah hari semalam.

Katanya, bot Kilat 22 digerakkan ke lokasi untuk mengesan mangsa manakala, pangkalan hadapan Carilamat ditubuhkan di Jeti Awam Sebuyau.

"Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching turut memaklumkan kejadian itu kepada agensi lain serta menyalurkan maklumat kepada persatuan nelayan berhampiran," katanya.

Menurutnya, operasi hari kedua hari ini masih gagal mengesan mangsa.

Dalam kejadian berasingan, Zin Azman berkata, sebuah bot nelayan yang dinaiki empat kru dilaporkan karam di perairan Tanjung Po pada 12.50 tengah hari, Isnin.

"Sejurus menerima maklumat, MRSC Kuching telah mengaktifkan operasi Carilamat dan sebuah aset APMM diatur gerakkan ke lokasi.

"Kesemua empat mangsa yang memakai jaket keselamatan berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan dan terus dibawa ke Kampung Goebilt di Kuching," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 4:35 PM