Mohd Roji Kawi


Sebuyau: Seorang daripada kru kapal kargo yang karam di perairan Sebuyau, malam Rabu lalu, tidak menaiki kapal berkenaan ketika memulakan pelayaran dari Kuching.

Berikutan itu, hanya lapan kru kapal membawa muatan batu kelikir itu yang hilang dalam kejadian akibat ombak besar dan angin kencang itu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pengurusan syarikat kapal kargo itu menemui pihaknya malam tadi mengesahkan kru terbabit, Maxwell Billy Stimba, 26, tidak ikut serta dalam pelayaran ke Sarikei itu.

Beliau berkata, mengikut laporan awal yang dibuat oleh pengurusan syarikat kapal itu tengah hari semalam, seramai sembilan kru berada di dalam kapal MV Tung Sung itu.

"Bagaimanapun, pihak syarikat datang ke Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat Malaysia (MRSC) Kuching malam tadi memaklumkan seorang daripada kru mereka tidak mengikuti pelayaran, maka hanya lapan sahaja kru yang berada di kapal itu ketika kejadian.

"Kapal itu dipercayai karam dan terbalik selepas dipukul ombak besar dianggarkan setinggi 15 meter ketika ribut melanda kira-kira jam 11 malam Rabu lalu, namun kejadian itu hanya dilaporkan oleh pemilik kapal itu tengah hari semalam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat kawalan operasi (PKO) mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di jeti awam Sebuyau di sini, hari ini.

Zin Azman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan semua kru terbabit terperangkap di dalam kapal berkenaan selepas ia karam dan terbalik.

"Kami percaya kejadian itu berlaku dengan pantas dan berdasarkan reka bentuk kapal itu, memang sukar untuk terbalik, tetapi ia tidak mustahil jika dilanda ombak besar dan angin kencang.

"Namun kita belum dapat membuat pemeriksaan di dalam kapal berikutan air laut terlalu keruh sehingga menyebabkan jarak penglihatan sifar walaupun kedalaman air di lokasi kejadian hanya lima meter," katanya

Berikutan itu katanya, Maritim Malaysia mencadangkan pemilik kapal berkenaan mengapungkannya bagi membolehkan pencarian mangsa di dalamnya.

"Pengapungan kapal adalah pilihan seterusnya dan kami memerlukan pihak syarikat untuk merancang kaedah untuk menimbulkan kapal itu.

"Proses untuk mengapungkan kapal itu memerlukan tempoh agak lama antara empat ke lima hari kerana perlu mendapatkan kapal, kren dan penyelam mahir bagi membuat persediaan pengapungan, namun tempoh itu juga bergantung kepada keadaan cuaca serta keadaan ombak," katanya.

Lapan kru berusia antara 20 hingga 52 tahun yang masih hilang ialah tiga warga tempatan iaitu Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu dan Stimba Chuit.

Empat lagi adalah warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo manakala seorang warga Indonesia, Lido Ali Purwanto.

Menurutnya lagi, operasi CARILAMAT diperluaskan dalam radius 373.65 baru nautika sekitar perairan Pulau Burung serta persisiran Sebuyau membabitkan 97 pegawai dan anggota Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Udara Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sarawak Coast Guard.

Sementara itu, mengenai empat nelayan yang hilang dalam insiden dua bot nelayan karam di perairan Miri, Selasa lalu, Zin Azman berkata, pencarian masih diteruskan di perairan Miri hari ini.

"Bagaimanapun, pasukan CARILAMAT berdepan cuaca buruk yang berterusan di perairan Miri," katanya.

Mangsa yang hilang adalah Zaidi Nawi 43, Anuar Amin 54 dan Junaidi Jamin 70, yang menaiki bot dengan nombor pendaftaran SFS3-4334 manakala seorang lagi adalah Masni Jana 60, yang menaiki bot nelayan dengan nombor pendaftaran SFS3-4271.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 4:27 PM