Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri bercadang mewujudkan jawatankuasa fast track atau laluan pantas bagi mengatasi isu kelewatan kelulusan projek yang sering dialami pelabur.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penubuhan jawatankuasa itu akan membantu dan menjalankan pemantauan bagi memastikan setiap projek pelaburan yang dijalankan mendapat kelulusan segera.

"Antara cabaran besar yang selalu dihadapi dalam kalangan pelabur ialah proses mendapatkan kelulusan di peringkat awal hingga kilang didirikan.

"Jawatankuasa fast track ini yang akan bertindak sebagai pemantau dan membantu mendapatkan kelulusan cepat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi sesuatu permohonan pelaburan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ir Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) ketika Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. FOTO Ghzali Kori
DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. FOTO Ghzali Kori

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan menawarkan beberapa insentif bagi menarik pelabur ke Taman Perindustrian Kertih Terengganu di Kertih termasuk menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia .

Beliau berkata, antara insentif di sektor pembuatan itu ialah pengecualian cukai sebanyak 70 atau 100 peratus untuk satu atau 15 tahun bergantung kepada servis, industri atau produk.

"Elaun cukai 100 peratus daripada nilai perbelanjaan modal turut ditawarkan untuk tempoh lima tahun serta pengecualian duti setem berkaitan pengambilalihan tanah dan pembangunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 4:40 PM