GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Jeritan mangsa meminta tolong dan bergelut dengan suspek yang cuba meragutnya membawa kepada penahanan seorang lelaki dalam kejadian di Sikamat, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa turut dibantu orang awam yang mendengar jeritannya sebelum suspek yang berusia 46 tahun itu ditahan dan diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah.

"Seorang lelaki berumur 39 tahun memaklumkan ketika sedang menunggang motosikal di sebuah kawasan perumahan di Sikamat, dikatakan didatangi suspek yang juga menunggang motosikal dan cuba meragut beg silangnya.

"Mangsa kemudiannya dipercayai menjerit meminta tolong serta cuba menghalang tindakan suspek dan berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.

"Hasil bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian berjaya menahan suspek dan menyerahkannya kepada polis," katanya, hari ini.

Beliau berkata, suspek adalah penduduk tempatan dan mempunyai 13 rekod membabitkan jenayah samun, mendatangkan kecederaan, perbuatan khianat dan dadah.

"Suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut 393 Kanun Keseksaan.

"Dengan tertangkapnya lelaki ini, pihak polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes ragut yang menyasarkan mangsa sedang berjalan kaki dan menunggang motosikal di sekitar kawasan daerah Seremban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 10:38 PM