Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu mengambil langkah berhati-hati membawa masuk pelabur ke negeri itu bagi mengelakkan berlaku antara pelabur yang sebenar dan pelabur yang hanya menjadi broker.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya tidak dinafikan bahawa memang wujud keperluan bagi memproses, menilai dan membuat keputusan terhadap setiap cadangan pelaburan itu dengan penuh cermat dan teliti terhadap pelabur.

Menurutnya, pihaknya mahu membezakan antara pelabur yang sebenar dan pelabur yang hanya menjadi broker ataupun di atas tujuan-tujuan lain.

"Kerap juga, apa yang berlaku ialah kelewatan berpunca daripada kelemahan pihak pelabur yang tidak dapat menyediakan maklumat sokongan yang diperlukan dan tidak memenuhi keperluan atau lampiran tidak lengkap, isi borang tak lengkap, lampiran pun tak lengkap, ada sesetengah itu dana pun belum ada lagi.

"Justeru, perkara ini sedang diuruskan oleh kerajaan secara proaktif di mana kerajaan menubuhkan pasukan khas atau special task force (fast lane) bagi membantu para pelabur sebagai pemudah cara permohonan tanah atau kelulusan dengan agensi teknikal yang lain," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh Ir Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, maksud proaktif ialah pelaksanaan proses penilaian dan kelulusan akan dibantu supaya turut memberi jaringan alternatif untuk memastikan supaya sesuatu projek dapat dilaksanakan.

"Jadi bukan setakat kita memberi jawapan 'yes or no' kepada pelabur-pelabur, tetapi kita cuba 'guide', bantu, tunjuk ajar untuk memastikan projek itu dapat dilaksanakan," katanya.

Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri dalam proses membuat penambahbaikan Garis Panduan Pembangunan lndustri Negeri Terenganu 2004-2008 kepada satu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2024-2030 yang akan mengikut keadaan ekonomi semasa dan akan datang.

Selain itu, beliau berkata, dasar ini juga dirangka untuk menarik pelaburan berimpak tinggi selaras dengan PITAS 2030 dan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam RMKe-12.

"Matlamat Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu Baharu akan memfokuskan kepada meningkatkan pelaburan domestik dan pelaburan asing ke Terengganu selain menawarkan peluang dan ruang kepada pelabur yang berpotensi bagi semua perindustrian berkonsepkan mesra pelabur (investor friendly) selain penerokaan perindustrian baru.

"Kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan lktisad Negeri Terengganu, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai agensi yang dilantik untuk menguruskan kawasan perindustrian Negeri Terengganu akan menawarkan insentif kepada pelabur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 1:17 PM