ANWAR berucap ketika Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANWAR berucap ketika Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Laporan akhir Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dijangka siap dalam tempoh dua bulan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu berdasarkan persetujuan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk mempercepatkan proses berkenaan.

"Saya mula mesyuarat penyelarasan gaji penjawat awam dan dengan KSN dan KPPA bersetuju percepatkan, lebih cepat dari saya jangkakan keputusannya.

"Kalau ikut jangkaan kita, paling lewat dalam dua bulan ini baru dibentangkan dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri untuk kelulusan muktamad," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan SSPA akan dibuat sepenuhnya bermula 2025.

Bagi tujuan itu, kajian berhubung sistem saraan itu dijalankan secara menyeluruh, yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

Ia menerusi penggunaan teknologi dan kemahiran modal insan, prestasi penjawat awam dari aspek produktiviti yang mewajarkan gaji setimpal kepada penjawat awam, kesejahteraan penjawat awam dalam menangani kos sara hidup dan kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan berkaitan perkhidmatan awam.

Laporan akhir SSPA pula dijangka dibentangkan pada Julai ini, sebelum diangkat untuk pembentangan Belanjawan 2025.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan tidak mahu melengahkan pelaksanaan SSPA bagi memastikan keperluan dan kebajikan penjawat awam terbela.

"Saya tidak mahu kata ini sengaja dilengahkan, sudahlah 12 tahun menunggu, jawatankuasa lagi, kemudian ada jawatankuasa koordinasi, selepas itu ada jawatankuasa koordinasi 'super', kemudian jawatankuasa Kabinet.

"Kemudian ada pula jawatankuasa dipengerusikan Perdana Menteri, jadi ada 15 jawatankuasa baru nak ambil (tindakan), tidak, kita ambil fast track dan kalau tak selesai juga kita tukar Perdana Menteri," katanya berseloroh.

Anwar berkata, beliau tidak mahu lagi proses terbabit sengaja dipanjangkan dan mahu memuktamadkannya secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 10:42 AM