RAFIZI (kiri) bersama Ahmad Samsuri bergambar pada Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori
RAFIZI (kiri) bersama Ahmad Samsuri bergambar pada Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Rang Undang-undang (RUU) berkaitan Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) akan dibentangkan di Parlimen pada November ini.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, penggubalan undang-undang nyah karbon itu bagi mengawal selia aktiviti berkenaan sekali gus menarik lebih ramai pelabur masuk ke dalam negara.

Beliau berkata, CCUS itu adalah antara projek rintis dalam pelan peralihan tenaga negara dan Terengganu adalah antara negeri peneraju untuk melaksanakan industri berkenaan.

"Ini mengambil kira potensi negeri Terengganu yang memang sudah ada telaga-telaga minyak di luar pesisir pantai dan juga fasiliti terminal yang memang sedia ada di Kertih.

"Di peringkat kerajaan Persekutuan, kita sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk dibentangkan dalam bulan November ini dan itu akan melahirkan industri CCUS di Malaysia.

"Keputusan mengenai pelaburan akan dibuat selepas RUU itu dimuktamadkan dan perbincangan dengan pelabur-pelabur dan juga pelanggan-pelanggan antarabangsa yang akan menggunakan CCUS sedang berjalan dan keputusanitu besar kemungkinan akan dimuktamadkan dalam tahun 2025," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus Menteri Ekonomi di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, setakat ini terdapat empat negeri iaitu Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak yang berpotensi dalam industri berkenaan.

Katanya, Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama dengan keempat-empat buah negeri untuk memastikan ia berjalan dengan baik.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sudah mengadakan perbincangan awal dengan Petronas berkaitan industri CCUS itu.

"CCUS (ini) isu yang amat besar dan penting bagi negeri Terengganu supaya ekosistem yang kita buat akan memberikan pulangan dan hasil kepada negeri sendiri dan tentunya penting juga untuk Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 3:06 PM