Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dalam perancangan mengubah suai beberapa pencawang komunikasi di lokasi sering dilanda banjir bagi mengelak berlaku gangguan komunikasi.

Menterinya,Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pencawang komunikasi bergantung kepada bekalan elektrik dan terganggu jika ditenggelami banjir dan pada masa sama turut menyebabkan komunikasi terganggu.

Beliau berkata, satu langkah disusun bagi memastikan segala kelengkapan penting diangkat di tempat lebih tinggi agar sebarangan bentuk komunikasi tidak terjejas terutama bila banjir melanda.

"Kementerian sudah menerima laporan secara berkala mengenai maklumat pencawang mengalami kerosakan dan arahan turut dikeluarkan supaya tindakan membaik pulih dilakukan dengan segera.

"Kerajaan berusaha sedaya upaya memastikan masalah komunikasi terutama di kawasan pendalaman diatasi segera bagi memudahkan urusan masyarakat yang memerlukan rangkaian terbaik untuk berhubung," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Serongga, Pasir Mas, di sini, hari ini.

Annuar menyampaikan ucapan sempena program penyerahan kotak makanan kepada mangsa banjir di Kampung Serungga Repek, Rantau Panjang hari ini. FOTO BERNAMA
Annuar menyampaikan ucapan sempena program penyerahan kotak makanan kepada mangsa banjir di Kampung Serungga Repek, Rantau Panjang hari ini. FOTO BERNAMA

Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Menteri Kuartet Covid-19 meluahkan kebimbangan berkaitan kadar vaksinasi yang rendah membabitkan remaja serta golongan berisiko tinggi di Kelantan dalam menghadapi transisi endemik.

"Umum mengetahui, pintu sempadan negara bakal dibuka yang memberi peluang kepada lebih banyak aktiviti keluar masuk, sekali gus mendatangkan kebimbangan kepada penambahan kes Covid-19 terutama apabila ramai rakyat Kelantan tidak divaksin atau mengambil dos penggalak.

"Saya berharap ketua komuniti di setiap kawasan dapat memainkan peranan, manakala kempen kesedaran terus dijalankan agar rakyat Kelantan lebih terbuka untuk divaksinasi demi kebaikan bersama.

"Kementerian melalui syarikat komunikasi seperti Maxis, Celcom dan Digi turut memainkan peranan dengan menghantar mesej penting kepada pelanggan bagi memberi kesedaran tentang kepentingan vaksinasi dan dos penggalak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 5:55 PM